Pepagi Jumaat ni terasa lain auranya. Group whatsapp pun banyak yang berkongsi tentang peringatan dan tazkirah ringan.
Ada satu hadith dikirim oleh rakan dalam group whatsapp. Bila dibaca dan diteliti, dalam juga nasihat yang terkandung di dalamnya. Terutama di zaman media sosial yang menjadi sumber utama untuk mendapat berita pantas.
Hadithnya berbunyi dengan maksud:
Bahawa Abdullah bin Umar RA mengkhabarkannya bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat. (HR Bukhari No: 2262) Status: Hadis Sahih
Banyak juga pengajaran yang boleh diambil buat pedoman. Semuanya penting buat kita dalam mengharungi zaman serba mencabar ni. Zaman yang penuh dengan fitnah yang berleluasa. Zaman yang dikatakan oleh ramai ulamak sudah menghampiri zaman keluarnya Al-Masih Dajjal.
Antara pengajaran daripada hadith diatas:
1. Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain2
2. Sebagai orang Islam, perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:
– Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain
– Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi
3. Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenankan hajatnya.
4. Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat
5. Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudahkan kehidupannya di hari kiamat
6. Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan Muslim yang lain semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.
Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan 2 keadaan:
a. Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar.
b. Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aibnya tersebut.”
Semua pengajaran ni penting buat kita, terutama nasihat tentang menjaga air saudara kita.
Seringkali kita baca kat media sosial tentang keaiban orang lain disebarkan. Samada si penyebar menulis sendiri tentang hal tersebut maupun dikongsi daripada status orang lain tanpa usul periksa.
Jadi tolong berhati-hati menyebarkan berita. Takut menjadi penyebar keaiban orang. Takut menjadi fitnah jika yang disebar tu tak betul. Takut juga menjadi umpatan jika ianya betul sekalipun.
JOM menjadi orang yang bersifat RAHMAH dengan memelihara hak saudara Islam kita yang lain.