Sekiranya ada anugerah nama terpanjang di Malaysia, empunya nama di bawah ini bakal merangkul anugerah tersebut.
Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Mohd Sufian.
Setakat hari ini, menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, nama Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Mohd Sufian diiktiraf sebagai nama terpanjang pernah didaftarkan di Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) pada tahun 2017.
Baru-baru ini, JPN telah mengeluarkan peringatan supaya nama anak yang didaftarkan tidak melebihi 80 aksara. Jadi, berkemungkinan besar, akan ada lagi nama yang lebih panjang bakal didaftarkan nanti, selepas nama terpanjang di atas.
Ramai yang mempertikaikan rasional ibu bapa tersebut menamakan anaknya sebegitu panjang. Rata-rata melihat, nama anak yang panjang bakal menyukarkan anak dalam beberapai situasi pada masa akan datang.
Situasi Sukar Pada Anak Yang Memiliki Nama Terlalu Panjang.
- Mengambil masa yang panjang untuk mengisi maklumat diri semasa peperiksaan.
- Petak huruf untuk borang-borang rasmi tidak mencukupi.
- Jurunikah atau pasangan pengantin sukar untuk melafazkan nama pasangan semasa akad nikah.
- Anak sukar mengingati nama ibu atau bapa yang terlalu panjang.
Panduan Memberi Nama Anak dalam Islam
Dalam masalah meletakkan nama ini, hendaklah diberi perhatian perkara-perkara berikut;
a) Disunatkan memberi nama-nama yang baik dan elok kerana Rasulullah SAW bersabda;
إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ
“Sesungguhnya kamu semua akan diseru/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, perelokkanlah nama-nama kamu.” (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)
b) Nama yang paling baik/paling elok ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW;
إنَّ أحَبَّ أسْمائكُمْ إلى اللّه عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللّه، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman.” (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)
c) Harus memberi nama sempena nama para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya. Sebagaimana sedia dimaklumi bahawa, Rasulullah SAW telah menamakan salah seorang anaknya dengan nama Ibrahim.
i) Sabda Baginda SAW;
تَسَمَّوا بأسْماءِ الأنْبِياءِ، وَأحَبُّ الأسْماءِ إلى اللّه تَعالى عَبْدُ اللّه وَعَبْدُ الرَّحْمَن، وأصْدَقُها: حَارِثٌ وَهمَّامٌ، وأقْبَحُها: حَرْبٌ وَمُرَّةُ
“Berilah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah.” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.)
ii) Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan; “Seorang lelaki dari kalangan kami baru memperolehi anak dan ia memberi nama anak itu ‘Muhammad’. Lalu kaumnya berkata kepadanya; ‘Kami tidak akan membiarkan kamu memberi nama dengan nama Rasulullah SAW. Maka lelaki ini pun pergi menemui Nabi SAW dengan membawa anaknya di atas belakangnya. Ia bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, dilahirkan untukku anak dan aku menamakannya ‘Muhammad’, lalu kaumku berkata kepadaku; ‘Kami tidak akan membiar kamu menamakan dengan nama Muhammad.” Lantas Rasulullah SAW menjawab;
تَسَمَّوْا بِاسْمِي، وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، فَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ، أَقْسِمُ بَيْنَكُمْ
“Berilah nama dengan namaku, akan tetapi jangan memanggil dengan panggilanku (iaitu Abul-Qasim) kerana sesungguhnya aku adalah Qasim (pembahagi) yang membahagi di antara kamu.” (Riwayat Imam Muslim)