Panduan Membeli Kereta Terpakai


Bagi sesetengah orang, kereta adalah keperluan yang perlu digunakan setiap hari. Namun, disebabkan harga kereta yang semakin hari semakin mahal mengehadkan pilihan mereka untuk memilikinya. Disebabkan itu, wujudnya pertimbangan daripada mereka yang mempunyai sumber kewangan yang terhad untuk membeli kereta terpakai.

Sebelum membeli kereta terpakai, pengguna harus sedia maklum mengenai risiko kerosakan yang mungkin bakal dihadapi. Ini kerana bergantung kepada rekod penjagaan pemilik sebelumnya, boleh dikatakan jika kita tersalah pilih kereta yang tidak dijaga dengan baik, ianya boleh mengakibatkan kita untuk berbelanja lebih hanya untuk memperbaiki kerosakan yang sedia ada.

Terpanggil untuk berkongsi sedikit panduan tentang bagaimana memilih kereta terpakai, dibawah adalah sedikit info yang boleh dijadikan rujukan semasa anda ingin membeli kereta-kereta terpakai.

  1. Elakkan membeli kereta yang telah diubahsuai secara keterlaluan. Ini termasuk kereta yang menggunakan lowered spring, sport rim yang besar, enjin turbo, ekzos perang ataupun warna asal yang telah diubah. Ini kerana modifikasi yang dinyatakan berkait rapat dengan kondisi enjin sesebuah kereta, sebagai contoh: sport rim yang besar lebih banyak menggunakan minyak serta memerlukan tenaga yang lebih tinggi untuk bergerak.
  2. Elakkan membeli kereta yang kerap bertukar pemilik. Sebagai contoh dalam tempoh 5 tahun, 3 owner. Ini kerana berkemungkinan kereta ini mempunyai masalah yang menyukarkan pemilk-pemilik sebelumnya.
  3. Buat semakan harga pasaran kereta. Dunia kini tanpa sempadan, lebih mudah untuk kita rujuk laman-laman web jualan kereta di internet. Sebelum perjanjian jual beli kereta ditanda tangan, pastikan harga kereta yang ingin dibeli didalam lingkungan harga yang sesuai.
  4. Hidupkan kereta dan dengar bunyi enjin. Periksa sama ada kedengaran bunyi-bunyi yang tidak sepatutnya, sebagai contoh bunyi tepet dan lain-lain. Jika tidak pasti tentang bunyi enjin, bawa sesiapa yang lebih arif.
  5. Periksa kondisi bawah enjin. Sekiranya terdapat basahan minyak, berkemungkinan terdapat bocoran sama ada minyak enjin ataupun lain-lain yang berdekatan dengannya.
  6. Periksa asap yang keluar daripada ekzos. Jika asap yang keluar adalah asap berwarna putih biru, itu maksudnya terdapat bahagian dalaman enjin yang telah haus ataupun rosak.
  7. Tekan dan henjut pada setiap bucu kereta. Sekiranya didapati bahagian tersebut melantun lebih daripada 1 kali, elakkan daripada membelinya. Ini kerana berkemungkinan besar suspension system (spring dan absorber) kereta telah rosak dan perlu diganti.
  8. Switch ON aircond. Jika aircond lambat sejuk ataupun tidak sejuk, ianya perlu diselenggara atau perlu ditukar ganti. Elakkan daripada membeli kereta yang mempunyai kerosakan aircond kerana kos baik pulihnya memerlukan modal yang besar.
  9. Periksa cat pada body kereta dan ketuk perlahan-lahan dengan jari. Sekiranya kelihatan ada warna yang tidak sekata, terlalu berkilat walaupun kereta sudah melangkaui usia 5 tahun, ataupun ada bunyi yang tidak sekata pada body kereta, berkemungkinan kereta tersebut pernah terlibat dengan kemalangan (body kereta pernah disimen dan disembur cat baru).
  10. Lihat pada dashboard kereta dan periksa mileage. Seboleh-bolehnya carilah yang mileage rendah kerana ia menunjukkan kereta tersebut jarang dipandu. Semakin tinggi mileage kereta, semakin kerap ia digunakan.

Dan akhir sekali, sebelum membeli kereta pastikan anda telah membuat kira-kira. Mengikut saranan pakar kewangan, untuk kesenangan memiliki dan menyelenggara kereta dikemudian hari, dinasihatkan seseorang itu membeli kereta yang nilainya adalah 12 kali gaji bulanan sahaja. Mengambil purata gaji minima sekarang iaitu RM2,000 sebulan, maka sekiranya seseorang itu ingin membeli kereta, belilah kereta yang berharga RM2,000 x 12 = RM24,000.

Ini kerana menggunakan kereta bukan sekadar perlu mengira bayaran bulanan sahaja, malah dari sudut perbelanjaan mengisi minyak, penyelenggaraan berkala serta barangan “wear & tear” juga perlu diambil kira. Itu belum lagi dicampur dengan susut nilai kereta yang boleh mencecah sehingga 55% selepas 9 tahun. Sanggupkah anda menanggung liabiliti sebesar itu? Mungkin ada baiknya duit itu dilaburkan dalam dana pelaburan yang lebih menguntungkan. Betul tak?


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini