Penulis yang berselindung di sebalik nama lain atau lebih dikenali sebagai ‘ghostwriter’ bukan satu kerjaya asing lagi Malaysia. Jika sebelum ini, penulis lirik lagu atau penulis skrip seringkali menggunakan nama pena lain untuk tidak dikenali, kini dengan dunia IT yang semakin berkembang, kewujudan ‘ghostwriter’ makin bertambah di sebalik kesibukan perkembangan dunia digital.
Ada selebriti yang mengupah ‘ghostwriter’ untuk mengemaskini akaun media sosial mereka. Ada syarikat yang menggunakan ‘ghostwriter’ untuk memuatnaik aktiviti langsung si pemilik syarikat walhal pemilik tersebut sedang bermesyuarat untuk melobi projek yang lebih besar. Ada juga ahli politik menggunakan idea ‘ghostwriter’ seolah-olah mereka yang bergiat aktif di media sosial bersama masyarakat.
Kami pasti, di sekiling anda terdapat ramai ‘ghostwriter’ yang bergiat aktif tanpa diketahui oleh rakan-rakan di sekeliling.
Potensi pendapatan seorang penulis hantu ini?
Melalui perkongsian dan pengalaman Puan Tengku Nurhusni yang merupakan penulis buku dan juga mentor dalam perniagaan, berikut adalah kadar upah yang pernah dibayar kepada ‘ghostwriter’ di Malaysia:
- Menulis artikel (RM200 – RM300)
- Menukar audio kepada teks (RM500 – RM1000)
- Buku Konsep Mudah ditulis dalam 15 hari (RM2000)
- Buku Konsep Sederhana ditulis dalam 30 hari (RM5000)
- Buku Konsep Berat ditulis dalam 60 hari (RM10 ribu – RM15 ribu)
- Buku Konsep Tokoh ditulis dalam 90 hari (RM18 ribu – RM20 ribu)
- Buku Kajian dan Penyelidikan (RM20 ribu – RM30 ribu)
- Buku Agensi (RM100 ribu – RM150 ribu)
- Laporan Syarikat (RM14 ribu)
- Buku Biografi (RM20- RM30 ribu)
- Menyediakan modul pembelajaran – initial dan royalti – (RM1,000)
- SOP Syarikat (RM20 ribu)
- Menulis skrip drama (RM5 – RM20 ribu)
Ya, kami di Ohsempoi bersetuju dengan kadar ini terutama sebagai penulis artikel. RM200-RM300 adalah kadar minima. Ada juga penulis artikel di blog yang meraih pendapatan melebihi 4 angka untuk satu artikel.
Trend terkini, terdapat ramai ‘ghostwriter’ yang mengambil upah dengan hanya memuatnaik status di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Mereka ini dibayar mengikut kekerapan muatnaik dan juga respon pembaca.
Ada ‘ghostwriter’ yang menjadikan aktiviti ini sebagai sumber meraih pendapatan sampingan. Ada juga yang menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan utama kerana ‘ghostwriter’ merupakan satu pekerjaan yang berdaya saing dan mampu memberi pendapatan yang lumayan.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.