Tidak lama lagi, sesi persekolahan untuk tahun 2018 akan berakhir. Para pelajar akan mula bercuti sebelum memulakan sesi baru 2019. Jadi, sepanjang cuti sekolah nanti, apakah perancangan yang telah dirancang untuk pelajar yang bercuti ini?
TIPS #1 – Buat Satu Senarai Tugasan Yang Perlu Dilakukan.
Di dalam Bahasa Inggeris, ini dinamakan To Do List. Untuk menyediakan senarai ini adalah satu kerja yang sangat mudah sebenarnya tetapi kesannya kepada cara kita melakukan sesuatu kerja adalah amat besar sekali.
Sediakan satu buku kecil. Buku kecil yang dicadangkan ialah buku kecil yang mudah dibawa ke mana-mana. Namun jika tidak ada, jangan risau. Jangan jadikan ia satu alasan. Ambil apa-apa sahaja buku atau kertas kosong yang boleh digunakan.
Dalam masa 5 hingga 10 minit, tuliskan semua perkara yang anda mahu lakukan pada esok hari. Fikirkan sejenak, selepas bangun tidur, apakah aktiviti-aktiviti yang perlu anda lakukan. Senaraikan semuanya. Senaraikan aktiviti-aktiviti penting dan juga aktiviti yang mungkin kurang penting. Mungkin pada waktu cuti sekolah anda ada lebih banyak aktiviti yang tidak berkaitan dengan pelajaran. Tidak mengapa. Tuliskan sahaja.
Setelah anda tulis semua aktiviti yang perlu dilakukan esok, lihat semula senarai aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan nombor atau gred untuk aktiviti-aktiviti tersebut. Saya mahu anda berikan aktiviti tersebut gred, 1,2 atau 3. Gred ini bermaksud:
- Gred 1 – Sangat penting
- Gred 2 – Penting
- Gred 3 – Tidak penting
Penting atau tidak penting ini pula anda perlu berhati-hati. Anda perlu jelas apa matlamat anda sebagai seorang pelajar. Jika saya tanya bermain video games selama 3 jam adalah Gred 1, 2 atau 3, apakah jawapan anda? Jika anda jawab 3 (tidak penting), bermaksud matlamat anda ialah untuk menjadi pelajar cemerlang dan cita-cita anda satu hari nanti ialah mahu berjaya dalam bidang yang boleh dikaitkan dengan pendidikan.
TIPS #2 – Tetapkan Masa Akhir
Di dalam bahasa Inggeris, ia dikatakan sebagai set a deadline.
Jika anda sebagai pelajar dan ada banyak kerja yang perlu disiapkan dalam masa cuti sekolah ini, ada 3 langkah asas yang ingin dicadangkan anda lakukan untuk mempraktikkan tip ketiga ini.
- Langkah pertama, senaraikan semua kerja atau tugasan yang perlu diselesaikan dalam masa cuti sekolah ini. Ia mungkin kerja sekolah, sesuatu yang hendak kita baca atau sesuatu aktiviti yang sudah lama kita tangguhkan.
- Langkah kedua, tuliskan tarikh dan masa akhir untuk setiap aktiviti tersebut.
- Langkah ketiga, buat keputusan dan tanamkan tekad bahawa anda akan siapkan semua tugasan ini sebelum masa akhir yang telah ditetapkan.
Kami percaya langkah ini adalah langkah yang paling sukar untuk dipraktikkan. Semua orang boleh tetapkan masa akhir tetapi tidak semua orang sanggup bekerja keras untuk menepatinya. Namun jika ia diamalkan pasti menjadi mudah juga nanti. Malah jika kita berusaha dan berjaya menepatinya, akan timbul rasa puas di dalam diri dan ini akan meningkatkan lagi tahap keyakinan diri kita untuk menguruskan masa dengan baik.
TIPS 3# – Fokuskan Minda Kepada Satu Perkara Sahaja Pada Satu Masa
Salah satu sebab mengapa banyak kerja tidak dapat disiapkan ialah menangguhkan untuk melakukan sesuatu kerja. Antara sebab kita tidak dapat menguruskan masa dengan baik adalah selalu berfikir tentang banyak perkara dalam satu masa.
Sebagai contoh, ketika menyiapkan kerja sekolah Sejarah, kita terbayang tentang kerja sekolah Matematik dan Sains. Bila kita sedang mengemas bilik, kita teringat tentang baju yang belum dibasuh atau halaman rumah yang perlu disapu. Apabila minda kita sudah terbahagi kepada beberapa fokus dalam satu masa, ada beberapa perkara akan berlaku.
- Pertama, kita tidak dapat melakukan kerja yang sedang dilakukan dengan berkesan.
- Kedua, kita mula hilang semangat dalam menyiapkan kerja yang sedang dilakukan.
- Ketiga, kita mula rasa terlalu banyak perkara yang hendak dilakukan lalu cuba menangguhkan semua kerja. Ini adalah disebabkan minda kita rasa ?terlalu sesak? dengan terlalu banyak benda. Akibatnya satu perkara pun tidak dapat dilakukan.
Pelajar yang suka bertangguh dan melengah-lengahkan kerja mereka selalunya disebabkan perkara ini. Minda mereka jadi terlalu sesak dan terus menangguhkan semua kerja sekaligus. Bagaimana cara mereka melegakan perasaan minda yang sesak ini?
Mereka akan lakukan sesuatu yang boleh menenangkan dan menggembirakan minda mereka dengan segera sama ada dengan bermain games, menelefon kawan, berbual di internet, menghantar pesanan sms dan sebagainya. Semakin banyak aktiviti ini semua dilakukan, semakin berat hati mereka untuk kembali semula melakukan tugasan-tugasan tadi.
TIPS 4# – Belajar Untuk Berkata TIDAK!
Bayangkan pelajar yang sedang belajar, siapkan kerja sekolah dan mengulangkaji topik yang baru dipelajari. Baru 5 minit buat kerja tiba-tiba dia mendapat pesanan sms daripada kawannya yang berbunyi, “buat apa tu BRO??”
Apakah yang akan dilakukan oleh pelajar ini? Adakah dia akan balas pesanan sms itu dan kemudian berterusan hingga lebih satu jam atau dia akan kata ?TIDAK! Aku nak buat kerja ni.? Pada pendapat anda, yang mana satukah pilihan pelajar ini?
Sebagai pelajar, anda perlu belajar berkata tidak kepada perkara-perkara yang boleh mengganggu kelancaran rancangan anda. Jika anda kesuntukan masa untuk siapkan kerja sekolah dan menerima pesanan sms, tidak perlu jawab jika ia tidak penting atau jawab dan beritahu sahabat anda yang anda tidak dapat berbalas-balas sms dengannya.
Jadi sebagai pelajar, belajar untuk berkata TIDAK apabila diajak melakukan aktiviti yang kurang atau tidak berfaedah dan aktiviti yang mengganggu kelancaran rancangan yang telah kita sediakan.
Selamat berlatih untuk berkata TIDAK dalam proses menguruskan masa anda!
Cukuplah 4 tips pengurusan masa anak sewaktu cuti sekolah untuk kali ini. Semoga tips ini membantu ibu bapa dan anak-anak meluang waktu dengan cara terbaik semasa waktu sekolah.