5 tanda penyaman udara anda perlu diservis


Alat penyaman udara kini sudah menjadi satu keperluan untuk kebanyakan rumah di Malaysia. Cuaca panas yang tidak menentu membuatkan sesi berehat di rumah bersama seisi keluarga menjadi kurang selesa. Kebanyakan rumah kini mempunyai penyaman udara sama ada di bilik tidur, di ruang tamu atau kedua-duanya sekali.

Tahukah anda unit penyaman udara perlu diservis secara berkala?

Secara asasnya, setiap alat penyaman udara perlu diservis sekurang-kurangnya empat bulan sekali bagi tahap penggunaan yang tidak terlalu kerap. Tetapi bagi alat penyaman udara yang digunakan setiap hari, lebih baik jika servis dilakukan setiap bulan.

Yang lebih penting lagi, jika alat penyaman udara menunjukkan tanda-tanda seperti berikut, anda harus dapatkan perkhidmatan professional untuk lalukan pemeriksaan dengan segera.

1. Alat penyaman udara ON dan OFF secara automatic dengan kerap

Kebanyakan alat penyaman udara kini mempunyai fungsi penjimatan elektrik, dimana ia akan OFF secara automatik apabila sesebuah bilik itu telah mencapai suhu yang dikehendaki. Tetapi, jika alat penyaman udara itu terlalu kerap ON atau OFF sebelum waktu yang sepatutnya, itu adalah petanda yang terdapat masalah pada aliran elektrik atau litar pintas pada alat tersebut. Langkah pertama yang harus anda lakukan ialah tutup suis utama. Kemudian, dapatkan khidmat pakar penyaman udara untuk baiki kerosakan tersebut.

2. Alat penyaman udara tidak berjaya menurunkan suhu bilik seperti biasa

Sejak alat penyaman udara itu dipasang di rumah, semestinya ada anda sudah faham kerenahnya. Contohnya, pada waktu tengah hari yang panas terik, berapa lama tempoh yang diperlukan untuk alat penyaman udara tersebut untuk menurunkan suhu bilik. Akan tetapi, jika alat penyaman udara tersebut memerlukan masa yang lebih panjang berbanding biasa untuk menurunkan suhu bilik tersebut, pasti ada sesuatu yang kena pada alat tersebut.

3. Air menitis dari unit dalam alat penyaman udara

Lembapan yang disedut oleh alat penyaman udara seharusnya akan terkondensasi dan dilepaskan melalui saluran air keluar. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes dimana air hasil proses kondensasi tersebut tidak dilepaskan secara efisien melalu saluran itu. Air itu terkumpul pada unit dalam penyaman udara dan akhirnya menitis jatuh ke lantai bilik. Ini menunjukkan terdapat masalah saluran air keluar yang tersumbat.

4. Bunyi bising keluar dari unit penyaman udara

Kebiasaannya alat penyaman udara yang berada dalam keadaan baik akan bekerja dalam keadaan senyap. Jika anda terdengar bunyi bising atau asing yang terhasil dari penyaman udara tersebut, jelaslah terdapat kerosakan padanya. Panggil juruteknik penyaman udara dengan segera. Kerosakan yang pada mulanya kecil boleh menjadi lebih teruk jika tidak dibaiki dengan segara.

5. Udara yang keluar tidak selancar biasa dan kurang sejuk

Masalah ini akan dapat dikesan jika anda berdiri di hadapan unit dalam penyaman udara tersebut. Hulurkan tangan anda kearah unit tersebut dan anda akan dapat merasakan jika udara yang dihembuskan adalah tidak lancar atau kurang sejuk berbanding biasa. Ini menunjukkan yang sudah sampai masanya untuk menambah gas penyejuk pada alat itu dan diservis bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan efisien.

Jika anda pergi ke laman YouTube, terdapat ramai netizen yang berkongsi tentang cara untuk servis alat penyaman udara sendiri atau DIY (Do It Yourself). Langkah mudah seperti mencuci penapis udara boleh dilakukan sendiri. Tetapi setiap beberapa bulan anda tetap perlu mendapatkan khidmat pakar penyaman udara untuk melakukan pemeriksaan dan servis yang menyeluruh untuk setiap unit penyaman udara di rumah anda.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini