Anak Suka Conteng Dinding. Apa Ibu Bapa Perlu Lakukan?


Pasti runsing si ibu apabila melihat dinding rumah yang cantik berseri menjadi tempat si kecil menunjukkan bakat. Tahukah anda bahawa kanak-kanak yang suka menconteng dinding merupakan kanak-kanak yang kreatif. Mereka sedang meluahkan imaginasi mereka dan mahu menunjukkan kepada anda.

Ada juga ibu bapa yang sudah menyediakan pensil warna dan kertas untuk membantu si kecil meluahkan kretivitinya tetapi mereka masih memilih dinding sebagai papan lukisan. Berikut adalah sebab kenapa dinding sentiasa menjadi pilihan utama si kecil untuk menconteng.

Kedudukan Paras Mata

Kedudukan dinding pada paras mata menjadikan si kecil dapat menulis dan melukis dengan selesa. Mereka juga akan lebih selesa untuk menconteng secara berdiri. Pergerakan mereka lebih bebas berbanding duduk dan tunduk mengadap kertas di meja.

Ruang Menulis Yang Luas

Daya imaginasi kanak-kanak adalah sangat luas dan dinding memberikan mereka ruang tanpa batasan. Bayangkan jika diberikan kertas kepada mereka, ruang meluahkan imaginasi mereka agak terbatas.

Anak Boleh ‘Masuk’ Ke Dunia Lukisan

Tahukah anda bahawa 2/3 dari waktu anak-anak dihabiskan dengan berimaginasi. Dengan menulis di dinding, mereka sedang mencipta ruang imaginasi mereka sendiri yang bersaiz realistik untuk mereka turut ‘masuk’ dalam imaginasi tersebut.

Walaupun begitu, anda tidak perlu risau dengan tabiat si kecil yang suka menconteng dinding kerena kebiasaan perkara ini hanya akan berlaku pada peringkat usia 4 tahun ke bawah.

Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda tidak perlu menyekat aktiviti ini malah perlu memikirkan alternatif lain supaya perkara ini tidak berlarutan. Contohnya seperti mengecat dinding dengan cat yang boleh di cuci. Pastinya anda tidak perlu gusar lagi selepas ini.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini