Benarlah kata orang, bapa adalah hero sebenar dalam dunia realiti. Ini terbukti apabila seorang bapa yang bertindak nekad terjun ke dalam sungai dan berlawan dengan seekor buaya yang sedang menggigit anaknya.

Kejadian ngeri tersebut berlaku di bandar Balabac di Palawa, Filipina. Ketika kejadian, Diego Abuhasan yang berusia 12 tahun sedang berenang di sebuah sungai berhampiran rumah bersama adiknya. Tiba-tiba seekor buaya muncul dan menyerang serta menariknya ke dalam air.
Tejada Abuhasan yang terdengar teriakan anaknya meminta tolong segera berlari ke arah sungai dan tanpa berfikir panjang terjun ke dalam air dengan membawa sebatang kayu.
Si bapa kemudiannya bertarung bersama buaya tersebut dengan memukulnya dengan kayu namun buaya tersebut masih tidak melepaskan gigitannya dan cuba mengheret anaknya ke dasar sungai. Terdesak untuk menyelamatkan anaknya, Tejada kemudiannya menggigit kaki buaya tersebut sekuat hati beberapa kali dan akhirnya buaya tersebut melepaskan gigitannya dan berenang meninggalkan mereka.

Disebabkan kepantasan si bapa, anaknya tidak mengalamani kecederaan serius dan dibenarkan pulang ke rumah selepas dua hari menerima rawatan di hospital.