Sekitar sebelum tahun 1998 dulu, bas mini adalah salah satu perkhidmatan awam yang paling mendapat sambutan di Lembah Kelang. Ia terkenal bukan kerana keselesaannya tetapi pada masa tu, itulah pengangkutan utama yang ada.
Bas mini ni sangat sinonim dengan kepadatan penumpang. Bas ini tidak mengambil kira had penumpang. Bas bersaiz kecil yang hanya boleh memuatkan 31 penumpang itu, akan disumbat dengan penumpang selagi boleh.
Deruman bising enjin dan asap hitam adalah satu perkara biasa. Bersesak-sesak dengan penumpang dengan bermacam bau badan, gesel-gesel, raba-raba memang tak dapat dielakkan.
Cara pemanduan yang agak brutal, cilok sana sini sudah menjadi trademark bas mini pada masa tu. Pendek kata kalau anda berkereta dalam situasi berebut dengan bas mini, lebih anda mengalah sajalah. Hahaha.
Mengejutkan..! Setelah 21 tahun bas mini dihentikan perkhidmatannya, Rapid KL akan mewujudkan semula bas mini. Dan ia akan memulakan perkhidmatan kepada warga kota bulan depan.
Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 September hingga 29 November.
Bas mini yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5.30 pagi hingga 11.40 malam. Inilah inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang.
Perkhidmatan percubaan tersebut akan membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang sempit selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas yang diterima.
Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan ini, Rapid Bus akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan tersebut dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain juga.
Para penumpang dialu-alukan untuk memberi maklum balas semasa perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my.
Apa komen anda tentang bas mini ini. Adakah ianya lebih baik ataupun adakah ia akan memburukkan lagi keadaan?