Bertuah rasanya jika dapat menonton perlawanan bola sepak dalam keadaan yang cukup selesa di stadium. Bagi sesetengah orang, kesesakan ketika menonton perlawanan di stadium adalah sebahagian dari kemeriahan. Namun ada juga yang inginkan keselesaan dan layanan VIP ketika menonton perlawanan di stadium.
Kini terdapat 16 suite korporat yang disediakan di stadium dengan kedudukan bilik yang lebih jelas dan selesa sempena perlawanan akhir bola sepak Piala Suzuki AFF antara Malaysia menentang Vietnam, Selasa ini.
Suite korporat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) boleh memuatkan 15 hingga 20 individu itu dijual pada harga pakej RM25,000 hingga RM30,000 setiap satu. Setiap pakej termasuk bilik berhawa dingin, makanan dari terkemuka dan lot parkir VIP.
Secara purata, penonton dalam kalangan orang kenamaan itu (VIP) membayar tiket berharga RM2,000 seorang, berbanding orang biasa cuma RM40. Jurucakap Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberitahu pihaknya menawarkan 20 bilik jenis itu dan semuanya habis ditempah dalam tempoh 12 jam selepas tempahan dibuka Rabu lalu.
“Sebaik tamat perlawanan separuh akhir kedua Malaysia menentang Thailand, Rabu lalu, kami terus membuka jualan bilik korporat ini dan tepat jam 1 tengah hari esoknya (Khamis) semua sudah habis dijual,” katanya, ketika dihubungi, semalam.
Katanya, ini kali pertama PSM dengan kerjasama FAM membuka jualan suite korporat sebaik SNBJ siap melakukan pengubahsuaian sebelum Sukan SEA tahun lalu.
Sementara itu, Pengerusi PSM Tony Fernandes, turut mengesahkan mengenai semua suite korporat berkenaan yang habis dijual menerusi akaun Twitter miliknya.