Datuk Lee Chong Wei Akan Kembali Beraksi Di Gelanggang Bermula Januari 2019


Peminat sukan badminton seluruh dunia pasti rindu dengan aksi tangkas bekas pemain No. 1 dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei yang telah disahkan mengidap kanser hidung peringkat awal pada September 2018. Aksi terakhirnya pada Kejohanan Terbuka Indonesia 2018 yang menyaksikan beliau tewas di peringkat separuh akhir ditangan pemain Jepun, Kento Memota pada 7 Julai lalu.

Namun selepas berehat dan menjalani rawatan di Taiwan, beliau kemudiannya disahkan bebas kanser hidung pada November 2018 dan bersemangat untuk kembali gelanggang.

Kini jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dijangka akan kembali beraksi di gelanggang pada Januari 2019.

Maklum Chong Wei, 36, ketika ini dia masih menjalani rawatan pemulihan di Taiwan dan terpaksa akur dengan sebarang nasihat doktornya.

“Sepatutnya dua minggu lepas saya kembali semula beraksi di gelanggang.

“Tetapi saya tidak dapat kembali dalam bulan ini dan masa yang paling awal saya dapat kembali semula pada Januari tahun hadapan.

“Proses pemulihan saya berjalan dengan lancar dan apa yang paling penting selepas sesi rawatan pemulihan, makan dan rehat secukupnya harus dilakukan oleh saya.”

Dalam pada itu, Chong Wei juga berkata aktiviti yang dilakukan buat masa ini ialah dengan membuat latihan ringan di rumah.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini