Sebangku mana pun kaki anda, sudah semestinya paling kurang anda akan tahu apa itu EPL iaitu singkatan bagi English Premier League dimana ia merupakan sebuah liga bola sepak yang mempunyai rating penonton tertinggi didunia.
Baru-baru ini berita gembira diumumkan buat peminat-peminat kelab liga Inggeris di Asia (Kemboja, Laos, Thailand, Dan Vietnam) apabila Facebook kini telah berjaya memenangi bidaan harga tertinggi untuk mendapatkan hak penyiaran bagi musim 2019-2022.
Menurut laporan The Times, Facebook berjaya mengalahkan BeIn Sports dan Fox Sports Asia dengan bidaan bernilai sekitar £200 juta (yang bersamaan dengan RM 1.07 bilion). Ini bermakna dengan kemenangan hak penyiaran ini, Facebook bakal menayangkan sejumlah 380 perlawanan secara langsung menerusi platform mereka.
Melihat kepada trend penonton yang kini lebih kearah penstriman video, difahamkan buat masa ini Youtube dan Netflix juga dalam proses perbincangan dengan pihak EPL untuk hak penyiaran bagi kedua-dua platform mereka.
Namun di Malaysia pula, hak penyiaran ini masih lagi dipegang oleh Astro yang mana selain daripada tontonan melalui televisyen, pihak Astro juga menawarkan penstriman menerusi aplikasi mudah alih mereka, Astro GO sejak beberapa musim yang lalu. Manakala, untuk liga bola sepak tempatan tahun ini, hak penyiaran kini dipegang oleh iFlix.