Bandar-bandar utama negara seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dikatakan sedang mengalami krisis kekurangan guru. Kebanyakan guru tidak berminat untuk mengajar di bandar-bandar besar kerana taraf hidup yang lebih tinggi.
Kementerian Pendidikan masih dalam peringkat cadangan dan kajian dalam mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada guru yang mengajar di kawasan kritikal tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, berkata cadangan itu antara mekanisma difikirkan kementerian bagi mengatasi isu kekurangan guru berpunca kos sara hidup yang tinggi.
“Kita (kementerian) mempertimbangkan untuk memberikan elaun guru (bagi menyelesaikan isu kekurangan guru).
“Kami dapati punca utama kekurangan guru kerana mereka tidak berminat datang ke sini (mengajar) kerana kos hidup agak tinggi di bandar besar,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah kekurangan guru semakin meruncing di bandar utama negara, terutama di Johor dan Selangor berikutan ramai guru dalam perkhidmatan memilih kembali ke tempat asal untuk bertugas.
Cadangan memberikan elaun khas guru itu diterima kementerian menerusi jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menangani masalah itu.
Kami di Oh Sempoi menyokong tindakan Kementerian Pendidikan berkaitan isu ini. Masalah kekurangan guru perlu di atasi segera dan Kementerian perlu mengambil langkah bijak bagi memastikan guru bersedia untuk berkhidmat di bandar besar.