Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei disahkan kanser hidung


Negara dikejutkan dengan berita sedih tentang status kesihatan Datuk Lee Chong Wei yang ketika ini sedang menjalani rawatan di Taiwan selepas didapati mengalami sesak nafas.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menghidap kanser hidung peringkat awal.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, bekas pemain nombor satu dunia itu sedang menjalani rawatan di Taiwan dan proses rawatannya berjalan lancar dan ketika ini sedang berehat bersama keluarga dan teman rapatnya.

Status kesihatan Datuk Lee Chong Wei menjadi perhatian bukan hanya seluruh peminat badminton tempatan malah seluruh dunia selepas menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang 2018, bulan lalu.

Penyertaan terakhir Datuk Lee Chong Wei sebelum menarik diri dari sebarang kejohanan adalah pada Kejohanan Terbuka Indonesia 2018 yang menyaksikan beliau tewas di peringkat separuh akhir ditangan pemain Jepun, Kento Memota pada 7 Julai lalu. Seminggu sebelum itu, Chong Wei cemerlang dalam kejohanan Terbuka Malaysia apabila meraih kejuraan ke-12 ketika menewaskan bintang muda Jepun tersebut di pentas akhir.

Kami di Oh Sempoi mendoakan agar kesihatan Datuk Lee Chong Wei kembali pulih dan dapat kembali ke negara dengan segera. Negara memerlukan bakat dan pengalamannya dalam melahirkan jaguh badminton dunia sepertinya.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini