Salam Jumaat..
Di hari yang penuh keberkatan ini, suka kami berkongsi satu hadith sahih yang kami pun dapat hasil perkongsian sahabat di group Whatsapp.
Untuk mengulas lanjut tentang hadith, ia bukanlah bidang kami. Tapi ia bukanlah bermakna benda baik ini tidak boleh dikongsikan.
Sabda Rasullullah S.A.W:
“Sampaikan daripada aku walau satu ayat…”
Ini ialah hadith dan huraian ringkasnya yang kami maksudkan tadi:
Dari Abu Darda “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar.” (HR Ibnu Majah No: 219) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
- Orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.
- Orang yang berada di majlis ilmu untuk menuntut ilmu, akan sentiasa dinaungi sayap Malaikat dan didoakan agar dicucuri rahmat.
- Orang yang berada di majlis ilmu untuk tujuan menuntut ilmu, nescaya akan didoakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi termasuk ikan yang ada didalam air.
- Keutamaan orang yang berilmu berbanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama dengan semua bintang yang ada (seorang yang berilmu itu umpama bulan yang bersinar dan menyinari cahaya, sedangkan ahli ibadah umpama cahaya daripada semua bintang-bintang).
- Para ulama (ilmuan) adalah pewaris para Nabi kerana para Nabi mewariskan ilmu bukan harta (harta boleh habis sedangkan ilmu sentiasa berkembang).
- Orang yang mencari dan mempelajari ilmu bermakna ia telah mengambil bahagian yang sangat besar daripda harta yang diwariskan oleh para Nabi.
Jadikanlah diri kita orang yang bermaklumat bukan hanya copy paste. Semoga dengan cahaya ilmu, akan menjadi penyuluh hidup dan mempermudahkan kita jalan ke syurga.
Jom kita jadi orang yang sentiasa dahagakan ilmu. Di hari Jumaat ini banyak majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid. Datang awal sikit sebelum solat Jumaat. Pasti ada tazkirah kat masjid yang disampaikan oleh oleh bertugas pada hari tersebut.
InsyaAllah, akan ada ilmu baru yang anda akan dapat nanti. Paling tidak pun ia akan menjadi peringatan dan ulangan buat ilmu yang dah anda tahu.