Benarkah sesiapa yang mengamalkan minum secawan air sup gearbox ini setiap pagi, badan akan menjadi bertenaga, kulit tegang dan darah bersih kerana kandungan dari sup gearbox boleh detoks hati?
Baca kupasan daripada Dr Suhazeli Abdullah
KHASIAT BONE BROTH ATAU SUP GEARBOX?
Musim raya qurban telah berlalu. Banyak lebihan tulang dan sendi lembu/kerbau yang masih tersimpan dalam peti ais di rumah untuk dimasak bila-bila masa sahaja. Tetiba tersebar satu video pendek dari seorang chef terkenal tanah air yang berkongsi cara-cara memanfaatkan tulang lembu/kerbau. Resepi mudah yang beliau kongsikan adalah air sup tulang renehan atau bone broth.
Mungkin istilah orang awam adalah sup ‘gearbox’. Kononnya air sup renehan dari sendi tulang haiwan qurban tersebut mempunyai khasiat kesihatan yang tidak diketahui oleh orang ramai. Sesiapa yang mengamalkan minum secawan air sup gearbox ini setiap pagi, badan akan menjadi bertenaga, kulit tegang dan darah bersih kerana kandungan dari sup gearbox boleh detoks hati.
Dalam masa yang sama juga disebarkan tulisan viral dari seorang doktor perubatan yang menceritakan pengalaman beliau merawat kes kematian akibat makan sup gearbox pagi, petang dan malam. Mungkin pengalaman itu menjadi kes terpencil yang juga boleh dijadikan sempadan bagi kita agar makan berpada-pada.
Setelah berbincang secara ilmiah bersama beberapa sahabat profesion pemakanan (dietitian), mereka menyangkal dakwaan yang dibuat oleh chef tersohor itu. Seseorang itu boleh menjadi cergas dan sihat bukan kerana minum sup gearbox, tetapi amalan kekal aktif seperti bersenam, penjagaan makanan yang berkhasiat, tidak merokok, tidak minum arak dan kesihatan mental yang optima terlebih diutamakan.
Malah terdapat beberapa kajian yang sudah dibuat berkaitan dengan sup gearbox atau bone broth ini. Kajian dari para doktor Taiwan 2017 menaruh kerungsingan bahawa risiko bone borth ini menjadi toksik oleh logam berat seperti plumbum dan kadmium. Renehan yang lama boleh menyebabkan logam-logam berat itu keluar dari tulang dan boleh menjadi sumber toksik.[1]
Pusat Perubatan Havard juga menolak dakwaan sup bone broth ini boleh meningkatkan imuniti badan, melicinkan kulit dan seumpamnya. Semua dakwaan itu adalah fenomena atas sangkaan orang ramai semata-mata, namun ianya tidak terbukti secara kajian terperinci.[2] Memang sup bone broth itu mengandungi asid amino yang tinggi, kolagen dan sebagainya, tetapi mekanisma penyerapan zat makanan tersebut melalui tahap-tahap tertentu dalam badan. Asid amino yang diambil melalui makanan seperti bone broth ini tidak secara langsung sampai ke sendi dan sel tubuh.[3]
Asid amino berkenaan akan melalui proses penyerapan di dalam perut, kemudian diangkut dalam darah seterusnya ke hati untuk di proses kepada bentuk protein yang lebih asas lagi. Mekanismanya agak kompleks, tidak semudah seperti yang kita bayangkan.
Semoga anda semua boleh faham dengan pencerahan ini.
Pautan
[1] Hsu, D., Lee, C., Tsai, W., & Chien, Y. (2017). Essential and toxic metals in animal bone broths. Food & Nutrition Research, 61(1), 1347478.http://doi.org/10.1080/
[2] What’s the scoop on bone soup? Havard Medical School. https://
[3] Science Can’t Explain Why Everyone is Drinking Bone Broth. http://time.com/4159156/