Misi Piala Dunia. Malaysia pertimbang gunakan pemain import untuk skuad Harimau Malaya


Demam Piala Dunia masih lagi terasa walaupun negara kita tidak terlibat dalam kejohanan dunia tersebut. Bayangkan sekiranya kita berjaya layak ke Piala Dunia, bagaimana agaknya kemeriahannya. Pasti ramai yang menaruh harapan untuk melihat skuad Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Dalam usaha merialisasikan impian seluruh rakyat Malaysia, pelbagai usaha telah dilakukan sejak dari dahulu lagi termasuk pembangunan skuad bola sepak dari peringkat akar umbi, membawa masuk jurulatih luar, menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dan banyak lagi. Namun ada satu lagi yang belum pernah dilakukan Malaysia iaitu menggunakan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini sedia mengkaji cadangan untuk membenarkan pemain naturalisasi mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Perkembangan itu dimaklumkan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui cadangan menaturalisasikan pemain luar dengan memberi kerakyatan negara ini dilihat menjadi alternatif terbaik untuk membantu memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan seperti yang dilakukan oleh Filipina.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan cadangan itu masih di peringkat awal dan banyak lagi ‘kerja’ yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan cadangan itu dapat direalisasikan.

Namun begitu, cadangan tersebut tidak diterima baik oleh bekas pemain pertahanan yang pernah mewakili skuad kebangsaan pada era 70an iaitu Datuk Santokh Singh.

“Mana boleh kita beri orang luar mewakili skuad kebangsaan. Bagi saya, pasukan Malaysia perlulah dibarisi oleh mereka yang lahir di sini, yang darahnya tumpah di bumi Malaysia ini.

“Tidak dinafikan ada negara yang mengambil pendekatan sebegitu namun masih ada cara lain yang boleh difikirkan untuk meningkatkan mutu bola sepak negara ini.

Untuk makluman, FAM kini hanya membenarkan pemain berdarah campuran yang memiliki hubungan susur galur di Malaysia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Antara pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan termasuklah Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).

Diharapkan supaya FAM dapat mengkaji sedalamnya berkaitan isu ini dan kita sebagai rakyat Malaysia pastinya mahukan yang terbaik untuk skuad kebangsaan.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini