Filem Hantu Kak Limah (HKL) arahan Mamat Khalid mencatat sejarah dan rekod tersendiri dalam industri perfileman tempatan apabila mencatatkan kutipan melebihi RM33 juta sejak mula ditayangkan 9 Ogos lalu sehingga kini.
Walaupun belum ada laporan rasmi berhubung jumlah kutipan tetapi angka melebihi RM30 juta itu sudah menjadi viral dalam media sosial dan dikatakan adalah sukar ditandingi.
Namun begitu, rekod tersebut yang masih lagi terlalu baru kini menerima tamparan hebat apabila tayangan awal filem Munafik 2 berjaya menewaskan kutipan tayangan awal filem Hantu Kak Limah (HKL) dengan jumlah kutipan sebanyak RM2.05 juta berbanding RM650,000 untuk HKL. Kutipan itu juga sekaligus lebih tinggi daripada tayangan hari pertama HKL yang mengutip RM1.1 juta sebelum ini.
Penerbit Munafik 2, Datuk Yusof Haslam berkata, jumlah itu adalah di luar jangkaan.
“Benda sebegini jarang berlaku. Paling tidak pun, untuk tayangan awal sebegini, selalunya hanya boleh mengutip sebanyak RM500,000 ke RM600,000.
“Alhamdulillah, kerana secara tak langsung, ramai peminat filem kembali ke pawagam untuk menonton filem sekaligus memberi sokongan kepada filem tempatan,” katanya kepada Harian Metro.
Rata-rata peminat filem tempatan yang telah menonton filem Munafik 2 mengatakan filem ini adalah yang terbaik pernah dihasilkan produksi tempatan dan mempunyai mesej yang sangat jelas.
Sememangnya genre filem seram dan juga komedi sering menjadi pilihan rakyat Malaysia dan diharapkan agar pembikin filem tempatan akan terus menghasilkan karya berkualiti dan dapat menembusi pasaran luar.