Covid-19 telah mengubah corak kehidupan kita seluruh dunia. Dulu kita bebas melakukan sebarang aktiviti yang kita suka, bebas bergerak ke mana sahaja yang kita inginkan tapi kini semuanya berubah. Hampir 2 tahun kehidupan kita terbatas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau kini disebut Pelan Pemulihan Negara (PPN). Semua ketetapan ini dibuat oleh Kerajaan bagi mengawal menularan virus Covid-19.
Kita lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan semakin kurang melakukan aktiviti fizikal. Tahukah anda, kita mungkin terkesan dari segi kesihatan mental dan fizikal sekiranya kurang melakukan aktiviti. Apatah lagi dengan golongan senior seperti ibu bapa kita, mereka perlu diberi perhatian agar kesihatan fizikal atau mental terpelihara.
Kurang melakukan aktiviti fizikal boleh memberikan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Terdapat 5 kesan utama terhadap kesihatan dan kehidupan kita terutamanya ibu bapa sekiranya kurang melakukan aktiviti fizikal.
Keletihan
Banyak berehat dan kurang berpeluh akan menyebabkan badan mudah letih dan lesu. Badan yang lesu merupakan salah satu simtom masalah kesihatan dimana kita perlu segera mengatasinya supaya kelesuan itu tidak berpanjangan. Apa yang anda boleh lakukan bersama ibu bapa di rumah adalah dengan melakukan pelbagai aktiviti yang memerlukan pergerakan fizikal bersama seperti mengemas, berkebun, bertukang, mengecat rumah dan banyak lagi. Jangan jadikan PKP sebagai alasan untuk anda bermalas-malasan di rumah.
Sukar Tidur Malam
Mengambil pil tidur bukan cara yang bagus untuk mengatasinya. Apa yang perlu lakukan adalah banyakkan bersenam dan melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Sebagai anak, anda perlu pastikan keadaan tempat tidur orang tua dalam keadaan bersih dan selesa supaya mereka mendapat tidur yang berkualiti.
Pemakanan Tidak Teratur
Aktiviti yang paling sukar ditinggalkan apabila ‘berkurung’ di rumah adalah makan. Ya kami yakin anda akan cepat terasa lapar dan sentiasa mahu makan sama ada semasa menonton TV mahupun ketika melayari social media. Aktiviti memasak bersama juga merupakan salah satu aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan keluarga namun jika tidak dikawal, pemakanan yang tidak teratur ini boleh menyebabkan banyak kesan buruk terhadap kesihatan kita.
Pemakanan yang tidak teratur dan tidak berkhasiat boleh menyebabkan anda terutamanya mereka yang lebih berusia menghadapi masalah pencernaan. Cara mengatasinya adalah dengan banyakkan minum air kosong dan sebokkan diri dengan aktiviti fizikal lain seperti mengemas rumah, membasuh kereta dan bercucuk tanam yang boleh membuatkan anda melupakan makanan seketika.
Obesiti
Jangan terkejut apabila anda pulang ke kampung halaman nanti dan ramai yang menegur saiz badan anda. Ya ini bukan masalah anda seorang, ini juga masalah admin sekarang. Hehehe… Ini berlaku kerana tiga perkara yang disebutkan di atas. Pemakanan yang tidak teratur, kurang tidur dan bermalas-malasan di rumah akan menyebabkan pengumpulan lemak yang berlebihan pada tubuh dan menyebabkan seseorang itu mengalami berat badan yang berlebihan.
Badan kita memerlukan tenaga untuk berfungsi dengan berkesan. Apabila sumber tenaga yang diambil melebihi tenaga yang digunakan oleh badan kita, badan kita akan menyimpan sumber tenaga yang berlebihan dalam bentuk lemak. Oleh itu, banyakkan aktiviti fizikal di rumah!
Gangguan Emosi
Ketidakstabilan emosi boleh berlaku disebabkan banyak perkara. Banyak menonton drama korea juga boleh menyebabkan gangguan emosi. Berat badan berlebihan juga boleh membuatkan hilang keyakinan diri dan secara tak langsung memberikan kesan kepada kestabilan emosi.
Secara keseluruhannya, apa yang perlu anda lakukan sepanjang PKP adalah dengan mengawal tiga faktor pertama di atas disamping banyakkan aktiviti fizikal di rumah bersama keluarga. Ia bagi mengelakkan tahap kesihatan merosot terutamanya bagi mereka yang sudah berusia seperti ibu bapa kita.
Anda dinasihatkan untuk sentiasa memantau tahap kesihatan ibu bapa, atuk, nenek dan mereka disekeliling yang telah berusia. Galakkan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan kemampuan mereka seperti bercucuk tanam, bertukang, memasak dan lain-lain lagi bagi mengelakkan ketidakupayaan yang berpunca dari pemikiran dan gaya hidup yang tidak sihat.
Ramai warga senior menjadi kurang upaya disebabkan keadaan badan yang lemah seperti cepat lenguh dan sakit lutut. Dianggar 9.3% rakyat Malaysia dewasa mempunyai sakit lutut dan lebih dari separuh mempunyai gejala osteoarthritis.
Bagaimana kita boleh mengekalkan tahap kualiti kesihatan ibu bapa kita dan mengurangkan risiko ketidakupayaan? Caranya mudah iaitu dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang yang mengandungi khasiat secukupnya serta kurangkan pengambilan makanan yang berkolesterol sebagai langkah untuk terus aktif. Selain itu, amalkan cara hidup sihat untuk terus aktif bagi meningkatkan kualiti hidup secara fizikal mahupun mental.
Anda boleh mengajak mereka melakukan aktiviti bersama secara rutin seperti berjalan mengelilingi kawasan kediaman, senaman ringan atau galakkan mereka melakukan hobi yang mereka gemar seperti berkebun dengan memberikan dorongan dan bantuan yang diperlukan.
Kita sedar bahawa golongan berusia mempunyai batasan dalam melakukan aktiviti fizikal, oleh itu jangan biarkan mereka melakukan aktiviti sendirian. Melakukan aktiviti bersama ibu bapa bukan sahaja memberikan memori yang indah malah secara tak langsung ia membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental mereka.
PKP bukan alasan untuk bermalas-malasan di rumah tapi PKP boleh mengubah hidup kita menjadi lebih rapat dengan ibu bapa sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama. Amalkan gaya hidup sihat dan jadikan contoh yang baik kepada mereka di sekeliling kita. Anda boleh baca artikel yang ditulis oleh Dr Norman untuk lebih memahami keperluan untuk terus aktif walau dalam apa jua situasi dan usia.