Pak Ngah sudah tiada…! Pejuang genre Irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Ngah, meninggal dunia di Batam, Indonesia pada pukul 3.02 petang tadi.
Berita ini turut disahkan benar oleh anak didik Pak Ngah iaitu Noraniza Idris yang dimaklumkan sendiri tentang pemergian komposer itu oleh anak Pak Ngah.
Menyorot kembali jasa Pak Ngah di dalam dunia seni khususnya dalam genre Irama Malaysia. Pak Ngah adalah antara individu yang bertanggungjawab menaikkan semula martabat muzik Irama Malaysia di negara kita.
Terus terang kami katakan, Irama Malaysia mula diminati kembali setelah iramanya digubah semula oleh Pak Ngah yang mana ia tidak lagi seperti irama yang terlalu klasik.
Pilihan penyanyi seperti Dato Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris untuk menyampaikan lagu-lagu ciptaannya juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menaikkan kembali genre muzik itu.
Difahamkan jenazah Pak Ngah akan dibawa pulang esok.
Innalillahi wainna ilaihi raaji’uun. Al-Fatihah buat Pak Ngah