Negara kehilangan permata dalam industri seni apabila penyanyi yang popular dengan lagu Suci Dalam Debu telah menghembuskan nafas terakhir jam 6.15 pagi tadi di Pusat Perubatan Univerisiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur. Perkara ini telah disahkan oleh isterinya sendiri, Juriah@Julia Bachok.
Saleem atau nama sebenarnya Am Saleem Abd Majeed, 56, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas kemalangan motosikal pada 20 September lalu akibat dilanggar sebuah kereta dari arah belakang ketika vokalis kumpulan Iklim itu keluar membeli barang.
Dalam kejadian di Kilometer (km) 16, Lebuhraya Grand Saga itu, 12 tulang rusuk Saleem patah termasuk satu daripadanya tertusuk paru-paru.
Saleem adalah penyanyi yang berasal dari Terengganu yang merupakan seorang penyanyi sensasi Iklim yang terkenal dalam dekad 90-an. Beliau merupakan bekas anak didik penggubah terkenal, Wan Zul. Lagu nyanyian beliau ciptaan Wan Zul dan M. Nasir telah meletakkan dirinya sebagai salah seorang artis tanahair yang terkenal dan diminati ramai sebaris dengan artis-artis popular yang lain pada masa itu seperti Jamal Abdillah, Ekamatra dan Wings.
Pada awal dan pertengahan dekad 90an, Saleem dan IKLIM telah berjaya menempa nama di luar negeri seperti Republik Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand dan Kepulauan Cocos di Australia.
Kami di Oh Sempoi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga rohnya dicucuri Rahmat Allah.