Remaja Malaysia Ini Jadi Jutawan Hanya Dengan Bermain Dota 2


Peribahasa mengatakan, alang-alang menyeluk perkasam biarlah sampai ke pangkal lengan, yang memberi makna apabila berbuat suatu perkara biarlah bersungguh-sungguh hingga menampakkan hasilnya.

Begitu juga dengan dunia e-sukan (game). Ramai yang mengatakan bermain game hanyalah untuk suka-suka, namun tidak dinafikan jika seseorang itu serius dengan bermain game ianya boleh dijadikan sebagai karier yang sangat cerah masa depannya.

Ini dibuktikan oleh seorang anak Malaysia dari pasukan PSD.LGD, yang bernama Yap Jian Wei atau lebih dikenali dengan nama samaran xNova, dimana beliau bersama rakan sepasukan telah berjaya menjadi naib juara didalam pertandingan Dota 2, di kejohanan The International 8 yang berlangsung di Vancouver, Kanada.

Untuk makluman, Dota 2 yang dianjurkan setiap tahun merupakan kejohanan paling lumayan dalam arena e-sukan yang mana ia menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh dunia untuk berentap dan menguji skill bermain game masing-masing.

 

Melalui kejohanan berprestij yang telah berlangsung ini difahamkan bahawa pasukan PSG.LGD yang dianggotai oleh xNova berjaya menerima habuan sebanyak USD4,075,965 (iaitu bersamaan RM16,676,810), sementara pasukan OG yang berjaya muncul sebagai juara membawa pulang piala Aegis beserta wang tunai bernilai USD11,208,905 (bersamaan RM45,861,234).

Walaupun sekadar menjadi naib juara, jutaan tahniah diucapkan buat pasukan PSG.LGD dan xNova diatas hasil usaha mereka memberi tentangan hebat kepada pihak lawan, diharapkan suatu hari nanti lebih ramai anak-anak muda yang berbakat seperti xNova tampil melakar nama di peringkat antarabangsa di dalam e-sukan.

Sebagai rekod, hadiah keseluruhan tahun ini bagi kejohanan Dota 2 bernilai lebih USD25.4 juta (bersamaan RM103 juta) iaitu hampir USD1 juta melebihi nilai hadiah kejohanan tahun lalu dan, e-sukan ini turut dipertandingkan buat kali pertama pada temasya Sukan Asia tahun ini sebagai acara demonstrasi dengan pingat yang diraih tidak dikira dalam pungutan keseluruhan.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini