Ramai yang sukakan menu Ayam Percik terutama semasa bulan Ramadan. Jika ke bazar Ramadan, pasti banyak gerai yang menjual menu ini. Harga pun boleh tahan. Tetapi kebanyakannya tidak menepati citarasa tekak ini. Sebenarnya menu ayam percik senang dan sangat mudah untuk disediakan.
Resipi Ayam Percik Sedap
Sebelum kami kongsikan resipi, anda perlu tahu, rahsia keenakan ayam percik terletak pada perapan (kuah) dan juga cara memasak ayam sama ada memanggang atau menggoreng. Pada kami, bakar ayam dan curahkan kuah sebelum dibakar semula adalah cara penyediaan ayam percik paling best!
Bahan Utama:
- 1 ekor ayam dipotong 4.
- Garam
- Serbuk kunyit.
Bahan untuk Dikisar:
- 1 inchi halia
- 1 inchi lengkuas
- 1 inchi kunyit hidup
- 5 ulas bawang merah kecil
- 2 ulas bawang putih
- 5 tangkai cili kering
Bahan Lain
- Garam gula secukup rasa
- 1/2 kg santan
- 2 keping asam gelugor
- 2 batang serai
- 1 sudu tepung jagung
Cara Penyediaan Ayam Percik
- Basuh ayam yang telah dipotong 4.
- Perap ayam dengan garam dan kunyit.
- Panggang ayam di atas api. Aroma akan lebih naik jika menggunakan dapur arang. Panggang di atas bara api. Pergh..
Kuah Ayam Percik
- Masukkan bahan-bahan untuk dikisar di dalam blender. Kisar sehingga halus. Tambahkan secawan air.
- Kemudian, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar di dalam periuk.
- Masukkan santan. Panas dengan api kecil perlahan-lahan. Sentiasa kacau untuk elak santan jadi berketul-ketul.
- Jangan lupa masukkan asam gelugor, garam, serai dan tepung jagung.
- Masak dengan api kecil sehingga kuah menjadi agak pekat.
Pastikan ayam yang dipanggang tadi masak 80%. Kemudian, curahkan kuah yang dimasak (guna senduk kecil la, jangan curah semua!) di atas ayam. Kemudian letakkan kembali ayam itu di atas bara api untuk 5 minit. Ulang proses mencurah kuah di atas ayam sekali lagi. Bakar lagi untuk 5 minit. Lakukan proses ini sebanyak 3,4 kali.
Agak-agak kuah sudah sebati dengan isi ayam, hidangkan ayam tersebut dan curah sedikit kuah. Hidangkan juga lebihan kuah ayam percik itu di dalam mangkuk yang cantik.
Pergh..dah terasa keenakan ayam percik sedap hasil air tangan sendiri ni. Selepas ini dah tak perlu beli ayam percik di kedai lagi kan. Boleh cuba sendiri di rumah.
Ayam percik ni sesuai dimakan dengan nasi putih panas-panas, nasi kerabu atau pun pulut kuning.
Nota Kaki: Ini adalah resipi ayam percik Terengganu. Resipi dari tempat lain mungkin berbeza. Ayam juga boleh digantikan dengan ikan (kembung, keli).