Jika anda sering melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Cheras ke Ampang atau sebaliknya, pasti anda boleh lihat sebuah bangunan yang tertera tulisan Pasaraya Econsave dan di bahagian atas bumbungnya kelihatan seperti sebuah kawasan safari dengan seekor zirafah menjengok dari atas bumbung yang terdapat pokok-pokok disekitarnya.
Itu lah Safari Lagoon Water Park yang dulu merupakan taman tema air pertama di Malaysia yang dibina di atas bangunan. Ia mula beroperasi pada tahun 1998 yang pada ketika itu merupakan taman tema air ketiga terbesar di Asia Tenggara.
Safari Lagoon pernah menjadi salah satu tarikan percutian di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu dimana kedudukannya adalah di tingkat 7 bahagian atas bangunan yang menempatkan shooping mall di bahagian bawahnya iaitu Pandan Safari Shopping Complex.
Diawal pembukaan Safari Lagoon, ia telah beroperasi tanpa kebenaran selama 8 tahun. Pada tahun 2005, ia telah diarahkan tutup oleh Majlis Perbadanan Ampang Jaya. Namun begitu, ia masih terus dibuka kepada awam sehingga berlakunya peristiwa yang meragut nyawa seorang pekerjanya pada tahun 2007.
Kejadian itu berlaku apabila seorang staff yang bertugas terperangkap dalam kawasan air tekanan kuat semasa cuba mendapatkan barangan pengunjung yang tertinggal di dasar kolam.
Selepas kejadian tersebut, Safari Lagoon terus ditutup kepada pengunjung. Walau bagaimanapun pihak pengurusan cuba membangunkan semula dengan memanfaatkan ruang atas bumbung tersebut dengan membuka sebuah restoran Anjung Kayangan Steamboat & Seafood Restaurant namun perniagaan tersebut tidak mendapat sambutan dan terpaksa ditutup.
Dulu taman tema ini mempunyai beberapa bahagian permainan air seperti kolam ombak buatan, kolam kanak-kanak, sungai buatan, kolam luncur air dan banyak lagi.
Kini bukan hanya Safari Lagoon malah keseluruhan bangunan Pandan Safari Shopoing Complex juga telah tutup sepenuhnya pada tahun 2015 dan sehingga kini masih tiada berita untuk pembangunan semula kawasan tersebut.
Kredit image : neoseven07/YouTube