Sekolah ini bersih luar biasa. Budaya menjaga kebersihan sentiasa menjadi keutamaan pelajar dan guru sejak dahulu lagi.
Negara Jepun seringkali dikaitkan dengan budaya rakyat mereka yang sangat menjaga kebersihan sehinggakan longkang di tepi jalan juga sangat bersih dan boleh dilihat ikan koi hidup di dalamnya. Tapi situasi ini kini boleh dilihat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri (SMKAMi) apabila longkang sekolah turut menjadi tempat belaan ikan koi.
Melalui projek “Longkang Bersih SMKAMi”, pihak sekolah telah melepaskan beberapa ekor ikan koi di dalam longkang sebagai bukti persekitaran sekolah adalah sangat bersih dan terjaga.
Bukan itu sahaja, sekolah ini juga telah mengamalkan budaya sifar tong sampah di dalam kelas dimana pelajar dilatih agar menyimpan sampah sendiri dan membuangnya di tong sampah besar yang disediakan.
Selain itu, pelajar juga diajar menjaga kebersihan tandas bersama. Apabila ingin memasuki tandas, kasut sekolah perlu ditanggalkan dan memakai selipar yang disediakan. Malah pelajar dan guru berkongsi tandas yang sama. Tiada istilah tandas pelajar mahupun tandas guru sepertimana dipraktikkan di kebanyakan sekolah.
Menurut Pengetua SMKAMi, sekolah ini juga tidak pernah berlaku kes vandalisme dimana pelajar telah dilatih dengan adab dan budi pekerti yang tinggi.
Semoga sekolah ini akan menjadi contoh terbaik kepada sekolah lain dan dapat membudayakan anak bangsa kita agar sentiasa menjaga kebersihan serta keperibadian yang tinggi sejajar dengan ajaran agama Islam.