Sebelum ini hanya pengawas sahaja yang memakai kasut hitam. Tampak segak ditambah pula dengan suit bertali leher.
“Mulai penggal 2019 pelajar sekolah akan dibenarkan memakai kasut hitam dan tiada lagi kasut putih!”
Kami kira ini merupakan satu berita baik apabila Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah bermula tahun hadapan.
“Ramai ibu bapa mengadu dan meminta supaya anak-anak mereka tidak memakai kasut putih. Baiklah, mulai tahun depan, murid-murid akan memakai kasut hitam, bukan kasut putih lagi,” katanya dalam sesi Bicara Minda Sihar Harian hari ini.
Selain itu ahli parlimen Simpang Renggam itu berkata, kementeriannya komited untuk mengurangkan beban pelajar yang dilihat menggalaskan beg sekolah yang berat.
Peraturan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan keluhan ibu bapa dan penjaga yang diterima oleh kementerian sejak beliau dilantik sebagai menteri.
Selepas ini tiada lagi kerja memberus kasut sekolah berwarna putih bagi ibu bapa. Sekadar membeli ‘kiwi’ kasut hitam dan memastikan kasut anak-anak sentiasa berkilat.
Pada pendapat kami, pemakaian kasut hitam akan membuatkan pelajar kelihatan lebih kemas dan profesional. Cuma kena pastikan kasut tersebut tidak kelihatan kotor dengan debu atau kotoran tanah. Maklumlah, kasut hitam yang diseliputi debu tanah mahupun debu kapur akan lebih jelas kelihatan.
Beliau berkata peraturan itu merupakan antara pembaharuan yang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan sekolah kebangsaan kembali menjadi pilihan ibu bapa menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu.
Tambah Dr Maszlee lagi, antara pembaharuan lain yang akan kami lakukan adalah memastikan meringankan beg sekolah para pelajar, menambah baik kurikulum sekolah agar lepasan sekolah kebangsaan bertaraf antarabangsa, dan mengembalikan profesion guru kepada guru, bermaksud tidak membebankan mereka dengan kerja selain mengajar.
Pendek kata, hitam atau putih, masing-masing ada kelebihan. Yang penting, kasut kena sentiasa bersih!