Kebiasaannya kalau rumah-rumah kampung, kehadiran lipan sememangnya lebih kerap berbanding rumah dibandar. Lipan suka bergerak di tempat kotor dan lembap seperti dalam rekahan lantai bilik air, celah rak, bawah tikar getah,bawah rumput karpet dan dalam kasut. Selain itu, ia juga suka tinggal dalam selimut dan bersembunyi dalam baju terutamanya pakaian yang kerap dibiar berlonggok di lantai.
Lipan dalam bahasa inggeris dipanggil centipedes. Perkataan ini berasal daripada bahasa latin yang bermaksud “seratus kaki”. Tetapi secara fizikalnya tiada lipan yang memiliki seratus kaki kerana kaki lipan berjumlah ganjil seperti 9,11,15 dan seterusnya.
Sengatan lipan memang berbisa, tetapi tidaklah sampai membunuh. Berdasarkan kajian, anda perlu disengat sekurangnya lebih seribu kali sebelum boleh mati disebabkan sengat tersebut. Namun ada beberapa keadaan di mana anda perlu mengambil serius dan berjumpa doktor juga.
Lipan ada beberapa jenis, tapi yang paling berbahaya kalau di Malaysia adalah lipan bara (Scolopendridae). Ia berwarna merah dan saiznya besar serta boleh mencecah 30cm. Walaupon begitu, lipan ini sangat jarang dijumpai di kawasan yang didiami manusia, dan selalunya membesar di hutan serta kawasan bawah tanah hutan hujan tropika.
Lipan sering menyengat apabila berasa terancam. Jika anda terjumpa lipan, anda janganlah terlalu takut, melatah, menjerit dan sebagainya. Sebaliknya, dengan tenang ambil objek tumpul dan ketuk kepala lipan tersebut sampai lunyai.
Kesan sengat lipan mirip seperti gigitan ular, kerana terdapat dua bintik halus dan kemerahan. Jangan pula anda terkeliru dan pastikan anda betul-betul melihat jenis lipan tersebut, seperti saiz dan warna. Kalau berani, tangkap dan simpan lipan tersebut serta tunjukkan kepada doktor yang merawat.
Lipan tidak memiliki taring atau penyengat, tetapi sebaliknya ia menggunakan dua kaki depan yang berbentuk seperti penyepit (seperti ketam dan lobsters tu!) yang dipanggil Forcipules untuk “mencubit” dan menyuntik bisanya ke badan mangsa.
Kebanyakan lipan tidak memiliki mata. Namun, disebaliknya mereka bergerak dengan berpandukan bunyi yang dikesan oleh sesungut antena mereka. Oleh itu selepas ini anda jangan takut-takut lagi untuk berperang dengan lipan ya! Sebab dia tak nampak anda, tapi dia boleh mendengar, jadi jangan bising-bising sangat lah ya.
Baiklah, andai kata anda sedang tidur, dan tiba-tiba terasa seperti dicucuk objek tajam, anda terjaga dan terlihat lipan. Apa yang perlu anda lakukan?
- Dengan tenang, cuba “kepung” lipan tersebut. Cari objek tumpul dan ketuk kepalanya beberapa kali sehingga beliau mati syahid. Kalau anda ingin merasa disengat sekali lagi, bolehlah biarkan ia hidup. Sebab lipan akan menyengat mangsanya berkali-kali sekiranya terasa diancam.
- Ok, lipan sudah mati dan anda puas. Bagaimana pula dengan tempat sengatan lipan yang sakitnya amat tajam dan mencucuk itu? Segeralah basuh kawasan disengat lipan dengan sabun antibacterial beberapa kali dan bilas dengan air yang banyak.
- Tidak perlu dipicit kawasan sengat kerana bisa lipan kebiasaanya tidak merebak. Tindakan memicit kawasan sengat akan menyebabkan ia mudah dijangkiti kuman dan menyebabkan bisa masuk lebih dalam menyebabkan sakit anda lebih lambat pulih.
- Sengatan lipan terdiri daripada protein yang boleh terurai oleh suhu panas. Sekiranya tempat sengatan anda menjadi bengkak, rendamkan kawasan tersebut dalam air panas(35-45’C) selama 30minit. Kepada mereka yang dah lama follow doc, doc memang selalu kongsi pasal rendaman air panas ni. Termasuklah kalau disengat obor-obor, ikan batu, ikan sembilang dsb.
- Sesetengah lipan menyebabkan kawasan sengat menjadi gatal. Oleh itu, anda boleh dapatkan krim steroid seperti Hydrocortisone untuk mengurangkan gatal dan kesan kemerahan pada kulit.
- Sengat lipan amat sakit dan terasa sehingga 48jam lamanya. Dapatkan ubat penahan sakit jenis NSAIDs seperti tablet Diclofenac atau Ibuprofen. Pastikan anda mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya anda baru pertama kali ingin mengambil ubat ini.
- Bila anda perlu berjumpa doctor?
- Jika kesan sengat lipan tidak baik selepas beberapa hari dan semakin bengkak.
- Sejurus selepas disengat, anda dinasihatkan mengambil suntikan anti-tetanus (kancing gigi)
- Beberapa kes sengatan lipan boleh menyebabkan alahan yang teruk.(anaphylaxis reaction) Oleh itu berjumpalah doktor segera untuk penilaian lanjut sekiranya anda mengalami sesak nafas,pening kepala, sakit dada, merah seluruh badan dan sakit yang melampau.
- Anak kecil yang berusia 5 tahun ke bawah serta warga emas yang digigit lipan hendaklah dibawa berjumpa doktor dengan segera.
Daripada Dr Hj Uwais Al Qorni – Haji yang takut lipan