Siapa yang tidak mengenali pendakwah bebas yang sangat disenangi semua orang Ustaz Ebit Lew. Beliau mengambil pendekatan berdakwah dengan mendekati golongan yang tersisih dari sumber dakwah. Jika golongan mat rempit, pondan, kaki arak dan seumpamanya dicemuh masyarakat tetapi tidak bagi Ustaz Ebit Lew. Beliau turun padang dan mendampingi golongan tersebut bagi mendengar luahan hati serta mengajak secara diam untuk memperbaiki diri.
Terbaru dan tular di media sosial tentang perjumpaan Ustaz Ebit Lew bersama usahawan dan jutawan kosmetik iaitu Dato’ Aliff Syukri dan Sajat yang telah berlangsung di kediaman Sajat. Perjumpaan ini adalah bagi mendekati dan mendengar luahan hati pengusaha kosmetik tersebut yang sering dikecam netizen serta terpalit dengan palbagai kontroversi.
Perjumpaan yang diusulkan sendiri oleh Ustaz Ebit Lew dan diterima baik oleh Dato’ Aliff dan Sajat adalah sesuatu yang positif bagi mencari ruang dalam membetulkan diri.
Pertemuan tersebut yang telah disiarkan secara Live di akaun facebook Ustaz Ebit Lew telah mendapat perkongsian sehingga 8,000 share dan jumlah tontonan semasa siaran langsung mencecah 20,000 orang.
Dalam perbualan santai tersebut, Ustaz Ebit Lew menyatakan bahawa dalam membetulkan diri kita, perkara utama yang perlu dijaga adalah solat. Biar apa jua status jantina, apa juga kemungkaran yang dilakukan dan apa juga perkara buruk yang kita dilakukan, apa yang penting adalah menjaga solat 5 waktu. Kerana lama-kelamaan solat itu akan menjaga dan membetulkan kita serta menjadikan kita insan yang lebih baik.
Dalam pertemuan tersebut juga, Sajat dan Dato’ Aliff menitiskan air mata menceritakan bagaimana mereka tidak diterima oleh masyarakat walaupun pelbagai kebaikan yang telah dilakukan. Apa sahaja yang dilakukan disalah ertikan.
Sebagai hamba Allah, kita tidak layak untuk menilai diri seseorang. Hidayah itu milik Allah dan kecaman yang dilakukan netizen tidak membantu menjadikan mereka insan yang lebih baik.
Tahniah kepada Ustaz Ebit Lew yang telah menunjukkan pekerti yang sangat tinggi dalam menyampaikan dakwahnya. Semoga Ustaz diberikan kesihatan yang baik dalam meneruskan dakwah sebegini.
Anda yang terlepas sesi pertemuan santai tersebut boleh menontonnya melalui video di bawah ini.