Rasanya ramai yang sudah melihat video seorang pelanggan di sebuah kedai sukan mencuba sepasang kasut dan berlari keluar kedai untuk mencuba keselesaan kasut tersebut. Tindakannya itu menimbulkan rasa panik jurujual yang menyangkakan pelanggan tersebut ingin melarikan kasut yang dicubanya lantas cuba mengejar pelanggan berkenaan. Video tersebut yang berdurasi 45 saat itu bukan hanya tular di Malaysia malah tular diseluruh dunia.
Dalam tempoh 16 jam selepas video tersebut dimuat naik, ia ditonton lebih 10 juta kali dan mendapat lebih 337,000 perkongsian.
Pelanggan tersebut yang merupakan personaliti media sosial, Harvinth Kesu berkata “Ingatkan pengawal keselamatan akan keluarkan pistol dan tembak saya, tapi rasa berbaloi sebab ambil risiko untuk hasilkan video itu.”
Harvinth yang juga hos televisyen itu berkata, video tersebut diinspirasikan daripada rakaman seorang lelaki dari luar negara yang turut melakukan aksi sama.
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada kakitangan kedai sukan itu kerana tidak ‘menumbuk’ saya.” Kata Harvinth.