10 Fakta Menarik Planetarium Negara Yang Anda Perlu Tahu


Pernah tak anda melawat Planetarium Negara yang terletak di kawasan tumpuan di tengah Kuala Lumpur. Planetarium Negara adalah salah satu tempat tarikan pelancong yang terdapat di Kuala Lumpur. Jika anda belum pernah menjejakkan kaki di sana, mungkin selepas membaca 10 fakta berikut boleh menggamit anda untuk melawati Planeterium Negara.

1. Lokasi Yang Strategik

Planeterium Negara terletak di dalam kawasan hijau Kuala Lumpur. Ia dikellilingi beberapa mercu tanda seperti Masjid Negara, Muzium Negara dan Taman Botani Perdana. Ia juga hampir dengan Stesen Sentral Kuala Lumpur yang merupakan hub trabsit terbesar negara.

2. Pameran Sains Angkasa Dan AStronomi

Pameran ini memberikan peluang kepada pelawat meneroka bahan pameran interaktif dan mencipta sendiri pengalaman pembelajaran yang unik. Ia menggalakkan interaksi di kalangan pelawat pada semua peringkat usia.

3. Tayangan Planetarium

Tayangan yang menggunakan kubah besar sebagai layar ini akan memukau penonton sehingga berasa seperti berada di bangkasa hasil gabungan kesan bunyi dan simulasi visual yang realistik.

4. Teater Angkasa

Teater Angkasa boleh memuatkan sehingga 190 orang penonton. Ia mempunyai skrin berbentuk kubah aluminium hesmisfera yang dilengkapi dengan sistem bunyi sekeliling digital 6-saluran. Dua projektor full dome immersive system memberikan pilihan tayangan setiap jam dan setiap hari.

5. Jam Matahari

Merupakan sebuah monumen jam matahari yang asalnya terletak di Stadium Merdeka tetapi telah dipindahkan ke Planetarium Negara kerana kerja-kerja ubahsuai landskap di Stadium Merdeka. Jam Matahari Merdeka telah dibina pada tahun 1957 sebelum sambutan hari Kemerdekaan Tanah Melayu. Jam Matahari ini menunjukkan waktu tempatan di Kuala Lumpur sebelum penyeragaman waktu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak (lewat setengah jam dari waktu piawaian Malaysia pada masa kini).

6. Pameran Luar

Persekitaran bukit yang menghijau itu dihiasi dengan replika balai cerap China dan India dari era terdahulu. Replika Stonehenge tersergam di sebelah pintu masuk utama sementara Jam Matahari Merdeka menghiasi kawasan laluan masuk. Selain dari replika bahan sejarah di kawasan luarnya juga terdapat arca hasil karya seni.

7. Space Pod

Kemudahan terkini di ruang pameran Planetarium Negara yang merupakan simulator yang dapat memberikan pengalaman penerokaan dan penerbangan ke angkasa lepas menggunakan simulasi komputer dan dalam masa yang sama pengunjung akan merasai pengalaman pergerakan tiga dimensi dengan kebebasan pergerakan 360 darjah.

8. Stesen Mikrosatelit

Suatu kemudahan yang menempatkan peralatan komunikasi Radio Amatur di Planetarium Negara. Peralatan Radio Amatur yang disediakan di stesen mikrosatelit Planeterium Negara dapat digunakan bagi tujuan perhubungan radio kepada pengguna-pengguna radio amatur dan juga untuk berkomunikasi dengan mikrosatelit yang melintas ruang udara Kuala Lumpur. Stesen ini juga digunakan untuk berkomunikasi dengan angkasawan yang sedang bertugas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

9. Galeri Pemandangan

Dengan menggunakan binokular yang disediakan, para pengunjung dapat menikmati pemandangan yang indah di persekitaran Tasik Perdana.

10. Balai Cerap

Suatu kemudahan yang menempatkan teleskop dan aksesori untuk orang awam mencerap objek-objek langit dan boleh juga digunakan untuk tujuan penyelidikan. Pada waktu siang para pengunjung boleh menggunakan teleskop di Balaicerap Planetarium Negara untuk melihat permukaan matahari. Balaicerap Planetarium Negara dibuka kepada awam pada hari-hari tertentu dalam seminggu.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini