Walaupun sehebat mana seseorang itu menjaga kebersihan, pastinya ada beberapa barangan didalam rumah yang semestinya tanpa disedari telah tamat tempoh. Bukti yang nyata, apabila kita sering terdengar perkataan “bantal busuk” yang cukup sinonim dengan bantal yang digunakan bertahun-tahun lamanya dengan segala mak nenek jenis peta.
Memandangkan kali ini kita berbicara tentang barang yang telah tamat tempoh, mari kita senaraikan 12 jenis barangan dalam rumah yang tanpa kita sedar mempunyai tarikh luput.
Jangan ambil sikap sambil acuh tak acuh ya kawan-kawan kerana barangan ini sekiranya masih digunakan selepas tamat tempohnya, sedikit sebanyak akan mempengaruhi kesihatan badan dan keselamatan anda.
1. Bantal – Luput antara 2 hingga 3 tahun.
Sementelah usia penggunaannya mencecah 2 hingga 3 tahun, bantal mula menjadi tempat pembiakan hama, kuman dan bakteria. Hama sebagai contoh, jika permukaan bantal dilihat dengan kanta pembesar selepas beberapa tahun, ia mampu bertelur dan beranak pinak sehingga menutupi permukaan bantal. Sekaligus meningkatkan risiko pada mereka yang masih menggunakan bantal tersebut untuk mengalami gatal-gatal ataupun resdung yang teruk. Jadi, walau semahal mana sekalipun bantal yang dibeli, apabila sampai tamat tempohnya sebaiknya haruslah dibuang dan digantikan dengan yang baru.
2. Selipar – Luput dalam masa 6 bulan sahaja.
Selipar adalah habitat paling sesuai untuk kulat dan fungus untuk membiak. Ini kerana ia terletak ditapak kaki, dan peluh sering berkumpul disana. Walaupun tempoh luput selipar adalah dalam lingkungan 6 bulan sahaja, namun perlu diingatkan bahawa saat kali pertama selipar itu digunakan adalah merupakan tempoh bermulanya bakteria mula membiak. Untuk kesihatan kaki, pastikan selipar dibasuh dengan. Atau selepas 6 bulan, ganti saja dengan yang baru. Elakkan membeli selipar yang menggunakan fabrik, fungus dan kulat lebih cepat membiak.
3. Span Mandi – Luput dalam masa 2 minggu sahaja.
Dah nama pun span mandi. Digunakan untuk membersihkan badan, guna pula secara harian dengan kekerapan yang tinggi dan ditinggalkan dalam bilik mandi yang lembap. Sudah semestinya banyak bakteria yang membiak. Jadi, cara terbaik untuk mereka yang menggunakan span mandi adalah untuk menukarnya setiap 2 minggu sekali ataupun jika rajin, rendamkannya ke dalam air panas yang mendidih bagi mematikan bakteria.
4. Tuala – Luput antara 1 hingga 3 tahun.
Ini antara barang wajib yang memang ada dalam rumah. Penipu besar kalau lepas mandi tak pakai tuala. Tuala digunakan untuk lap badan, biarpun dengan kekerapan penggunaan yang tinggi dan juga anda kerap mencucinya, masalah bakteria tetap tak dapat diselesaikan kerana permukaan kain tuala yang memerangkap bakteria. Maka disebabkan itu, apabila tiba masanya, maksima 3 tahun, tukarlah tuala tersebut kepada tuala baru.
5. Berus Gigi – Luput dalam masa 3 bulan.
Juga antara barang yang berisiko tinggi terdedah kepada kuman-kuman kerana didalam mulut adalah habitat kuman yang paling sempurna. Bagi anda yang tengah sakit batuk atau selsema, dinasihatkan untuk tidak menggunakan lagi berus gigi yang pernah digunakan bagi mengelakkan bakteria itu kembali datang menyerang. Kerana ianya telah tercemar.
6. Antiseptik Pertolongan Cemas (Hydrogen Peroxide) – Luput dalam masa 2 bulan sahaja.
Antiseptic sememangnya digunakan untuk mencuci luka-luka. Namun, tahukah anda selepas ‘seal’ botol antiseptic itu dibuka ianya hanya boleh digunakan dalam tempoh masa 2 bulan sahaja sebelum cecair tersebut menjadi air biasa. Akan tetapi, jika antiseptik itu tidak pernah digunakan dan tertutup rapi, ia boleh bertahan sehingga 1 tahun.
7. Minyak Wangi – Luput antara 3 hingga 4 Tahun.
Ya, minyak wangi juga mempunyai tarikh luput. Namun tidak seperti makanan, minyak wangi yang telah tamat tempoh masih boleh digunakan. Cuma, bergantung kepada jenis minyak wangi, mungkin perubahan yang berlaku hanya pada warna dan kualiti bau sahaja. EDP (Eau De Parfum) mengandungi essential oil yang hanya mampu bertahan selama 3 tahun di dalam bekas kedap udara. Manakala bagi EDT (Eau De Toilette) pula, mampu bertahan selama 4 tahun.
8. Puting Bayi – Luput dalam masa 2 hingga 5 minggu sahaja.
Puting bayi diantara barang yang sering diabaikan. Dengan kekerapan penggunaan yang tinggi dan jenis susu yang dibancuh dalam botol, puting botol berisiko untuk berkulat dan berbau. Bagi orang dewasa keadaan seperti ini kelihatan normal, akan tetapi disebabkan bayi masih tidak memiliki antibodi yang kuat, ini meningkatkan risiko mereka untuk mempunyai masalah kesihatan kelak.
9. Bra – Luput antara 1 hingga 2 tahun.
Baju sokongan kecil yang dipakai dalam baju bagi menyokong aset wanita untuk terus berada dalam keadaan yang selesa dan tidak melantun-lantun. Meskipun begitu, perlu diingatkan bahawa apabila struktur bra tidak lagi selesa untuk dipakai atau bentuknya tidak lagi seperti bentuk asal, ia adalah petanda untuk si pemakai menukarnya dengan yang baru tanpa perlu menunggu tempoh 1 atau 2 tahun.
10. Kasut Sukan – Luput sebaik struktur berubah.
Sama juga seperti selipar, tetapi kasut sukan lebih cenderung untuk memerangkap kuman dan bakteria. Ini kerana kasut sering dipakai untuk kegunaan aktif. Sebaiknya ia hendaklah dicuci sekiranya kelihatan kotor, dan tarikh luputnya adalah sebaik sahaja struktur kasut itu telah berubah.
11. Penyambung Elektrik (extension) – Luput antara 1-2 tahun.
Penyambung elektrik pada asasnya adalah untuk kegunaan sementara sahaja. Namun, orang kebanyakannya menggunakan ia sebagai alat sambungan elektrik yang kekal pada perkakasan elektrik mereka dirumah. Walaupun penyambung elektrik ini jangka hayatnya lama, tetapi perlu diingatkan kebanyakkan kes kebakaran adalah berpunca daripada litar pintas. Maka, sekiranya seelok-eloknya jika ternampak sebarang ketidaknormalan pada fizikal penyambung elektrik tersebut, sebaiknya ia perlu digantikan dengan kadar yang segera.
12. Power Soket – Luput dalam masa 4-5 tahun
Sama seperti penyambung elektrik, barangan ini adalah barang wajib digunakan setiap hari. Juga tiada tarikh luput, namun pakar menasihati agar ia diganti setiap 4-5 tahun bagi mengelakkan masalah litar pintas. Ataupun apabila suis di power soket mula keras atau sukar untuk ditekan, ia perlu diganti dengan segera.