Jika anda berhasrat mengamalkan gaya hidup pemakanan yang sihat, amalkan pengambilan makanan organik. Tapi di Malaysia kebanyakan makanan organik adalah lebih mahal dari makanan biasa.
Tak mengapa kerana anda juga boleh mengamalkan pemakanan sihat dengan 6 jenis makanan berikut yang murah dan mudah diperolehi.
- Halia
Merupakan sejenis akar yang digunakan secara meluas dalam masakan tempatan. Selain untuk menambah rasa masakan, halia mempunyai banyak ciri-ciri farmakologikal. Ia telah digunakan sejak beribu tahun dahulu bagi manfaat kesihatannya. Kajian membuktikan keberkesanan halia sebagai antioksidan dan agen antiradang. Ia juga terbukti berkesan melegakan rasa loya dan melindungi tubuh daripada penyakit tertentu
- Kunyit
Kunyit juga dikenali sebagai “Safron India”, adalah satu lagi rempah yang sering digunakan dalam masakan. Penyelidikan makmal ke atas kunyit sejak beberapa dekad mendapati ia mengandungi banyak bahan dan elemen yang memberi banyak kesan positif. Selain reputasinya sebagai agen antioksida yang kuat, ia juga mampu menghalang pertumbuhan patogen tertentu dan bakteria tidak baik dalam badan.
- Manggis
Manggis mempunyai kandungan antioksidan dan nutrien yang sangat tinggi. Berdasarkan hasil beberapa kaji selidik, pengambilan manggis mampu memantapkan lagi sistem imun dan sangat bermanfaat untuk kesihatan tubuh kita secara keseluruhannya. Sekarang telah banyak jus dan pati manggis yang dijual secara komersial sebagai minuman kesihatan.
- Betik
Betik mengandungi beberapa jenis karotenoid yang banyak memberi manfaat kepada kesihatan. Dua daripadanya adalah zeaxanthin dan beta-karotena yang berperanan melindungi kesihatan mata.Likopena adalah antioksidan karotenoid yang berpotensi menjadi pelindung bagi penyakit jantung. Tambahan pula, kandungan vitamin C dalam betik sangat tinggi. Satu buah betik bersaiz sederhana mengandungi lebih daripada 2 kali ganda jumlah vitamin C yang diperlukan dalam sehari! Betik juga padat dengan gentian serat dan kandungan air yang tinggi yang membantu meningkatkan kesihatan sistem penghadaman
- Jambu batu
Jambu batu mengandungi lebih banyak vitamin C berbanding buah oren. Ini membantu memantapkan sistem imun dan mencegah penyakit. Jambu batu juga padat dengan serat dan bertindak sebagai pelawas semula jadi.
- Tempe
Tempe selalunya dimakan sebagai pengganti kepada daging kerana ia mempunyai tekstur yang hampir sama. Tempe digemari ramai pengamal diet vegetarian. Satu hidangan 85 gram mengandungi lebih daripada separuh protein dalam satu stik! Kacang soya yang difermentasi ini padat dengan serat, kalsium, besi, lemak asid omega 3 dan vitamin B.
Haa lepas ni boleh la amalkan selalu makan semua makanan ni. Lagi pun senang jer nak dapatkan semua ni kan.