Rasullullah adalah contoh terbaik ummat manusia dalam semua aspek kehidupan. Setiap apa yang dilakukannya merupakan sunnah yang perlu kita ikuti agar menjadi insan yang berakhlak mulia.
Dalam kehidupan seharian kita, banyak sunnah nabi yang sangat mudah untuk kita praktikkan antaranya adalah adab ketika makan. Berikut kami kongsikan adab ketika makan berdasarkan sunnah Nabi Muhammad SAW.
1. Membasuh tangan
Membasuh tangan itu menurut satu pendapat bukanlah merupakan suatu sunnah secara umum. Ini kerana ia bergantung kepada keadaan iaitu jika tangan kotor maka dibasuh dan jika tidak cukup dengan menyapu tangan. Pendapat ini berdasarkan dua hadis yang menyebut:
“Bahawa Rasulullah SAW masuk ke tandas kemudian baginda keluar, maka baginda makan dan baginda tidaklah menyentuh air.” (HR An-Nasaa’i)
Satu lagi hadis menyebut:
“Bahawa Rasulullah SAW apabila baginda ingin tidur, sedangkan baginda berjunub, maka baginda berwudhu’ (seperti wudhu’) untuk solat dan apabila baginda ingin makan maka baginda membasuh kedua tangan baginda (lebih dulu).”
2. Membaca Bismillah.
Nabi SAW bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda: “Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah…” (HR Bukhari dan Muslim)
Ini merupakan satu suruhan yang jelas mengenai membaca Bismillah.
3. Makan bersama
Adalah digalakkan berkumpul sewaktu makan menurut cara yang dibenarkan syarak iaitu tiada percampuran antara lelaki perempuan bukan mahram.
Rasulullah SAW bersabda: “Maka hendaklah kamu berkumpul untuk makan makanan kamu dan sebutlah nama Allah agar diberkati kamu padanya.” (HR Abu Daud)
4. Makan dengan tangan kanan
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila salah seorang kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (HR Muslim)
5. Makan dari bahagian tepi dahulu
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pinggan, akan tetapi hendaklah dia makan makanan daripada bahagian di sebelah bawahnya, kerana sesungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (ke bawah).” (HR Abu Daud)
6. Tidak bernafas ketika minum
Ibnu Abbas r.a. memberitakan: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang bernafas dalam bekas minuman atau menghembuskan ke dalamnya.” (HR At-Tirmidzi)
7. Makan yang sedikit
Nabi SAW bersabda:
“Orang mukmin itu makan menggunakan sebuah perut sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut.” (HR Bukhari)
8. Menjilat jari
Rasulullah SAW menyuruh umatnya menjilat jari dan pinggan sesudah makan. Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan.” (HR Muslim)
Di dalam hadis lain menyebut:
“Apabila salah seorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia menyapu tangannya (dengan sapu tangan) sehingga dia menjilatnya atau makanan itu dijilatkan.” (HR Bukhari)
9. Mengucapkan Alhamdulillah
Terdapat beberapa doa selepas makan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW. Kita juga turut digalakkan untuk mendoakan untuk penjamu kita (yang menjamu hidangan kepada kita).
10. Basuh tangan sesudah makan
Nabi SAW bersabda: “Siapa tidur sedangkan di tangannya terdapat daging busuk dan dia tidak membasuhnya; tiba-tiba dia dikenai sesuatu, maka janganlah dia mencela melainkan ke atas dirinya (sendiri).” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)
Orang yang tidak membasuh tangan sesudah makan akan menyebabkan tangannya kotor dan ini berkemungkinan akan menyebabkan kemudaratan seperti serangga atau binatang tertarik dengan sisa atau bau makanan di tangannya.