Melalui laman rasmi Apple di Twitter beberapa jam yang lalu, umum telah dapat menyaksikan acara lintas langsung #AppleEvent. Seperti biasa sejumlah peranti baru diperkenalkan, yang mana menjadi peranti utama pada pembukaan majlis acara tersebut ialah Apple Watch Series 4.
Jam tangan pintar siri keempat ini yang kelihatan sedikit besar berbanding model-model sebelumnya ini memiliki rekaan yang sedikit melengkung dibahagian tepi, dipadankan dengan saiz tali yang lebih lebar iaitu 44mm.
Memberikan perincian tentang spesifikasi dan kelebihan Apple Watch Series 4 terbaru ini, pihak Apple telah mengumumkan pengenalan kepada beberapa muka jam yang menawarkan pelbagai pilihan baru. Disamping jam tangan pintar ini didatangkan dengan kekuatan speaker yang 50% lebih kuat serta kedudukan mikrofon yang telah dialihkan bagi memberikan panggilan suara yang lebih jelas.
Apple Watch Series 4 dijana oleh cip Apple S4 serta dilengkapkan dengan rekaan dwi-teras berasaskan 64-bit yang menjanjikan kuasa pemprosesan dua kali ganda berbanding model Apple Watch sebelumnya juga menerima penambahbaikan sensor yang difahamkan mampu mengesan dan memberi bantuan panggilan kecemasan apabila seseorang pemakai itu terjatuh dan pengsan.
Menambah kepelbagaian fungsinya didalam pemantauan kesihatan pemakai, Apple Watch Series 4 juga kini boleh memantau ECG iaitu singkatan bagi Electrocardiogram (yang telah mendapat kelulusan FDA) – dimana ia mampu merekodkan kadar denyutan jantung, sekaligus membolehkan seseorang untuk mengesan sebarang risiko penyakit yang berkaitan dengan jantung.
Apple Watch Series 4 disertakan dengan Digital Crown yang telah ditambah baik pada bahagian tepi yang kini menyertakan sokongan tindak-balas haptik. Juga ia kini menyokong sokongan ketahanan bateri sehingga 18 jam, selain kebolehan tambahan untuk kegunaan berenang dan bersenam.
Seperti biasa, Apple Watch Series 4 akan dijual dalam pelbagai variasi dan akan mula dijual bermula 21 September ini di beberapa buah negara. Namun, buat masa sekarang tarikh rasmi untuk pelancaran pasaran Malaysia masih belum diketahui.