Por Hui Ling, 11, kanak-kanak berbangsa Cina Hokkien, dari Taman Desa Jaya Kampung Gong Pak Damak, Kuala Nerus, membuka mata banyak pihak.

Ramai yang menyifatkan kejayaan pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (SKTJ) Kuala Terengganu itu sesuatu yang menakjubkan…!

Por Hui Ling berjaya mendapat gred A untuk semua mata pelajaran agama Islam iaitu Ulum Syariah, Pelajaran Jawi, Lughatul al-Quran (Bahasa Arab), Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Sirah, Adab dan Amali Solat.

Anak ketiga daripada 4 adik beradik itu berkata dia mengikuti kelas UPKK atas kerelaannya sendiri. Dia mengikuti jejak abangnya, Por Jie Hao, 14, yang juga pernah mengikuti kelas UPKK di SKTJ.

Abangnya berjaya memperolehi 5A dan 3B dalam UPKK pada tahun 2015. Jadi Hui Ling berazam untuk mencatat keputusan yang lebih baik daripada abang.

“Ibu dan ayah pula menyokong kerana bagi mereka, saya perlu mempelajari juga apa yang murid Melayu belajar kerana semua rakan Melayu juga belajar bahasa Mandarin.

“Memang seronok apabila berpeluang mempelajari semua subjek dalam UPKK terutama subjek Pelajaran Jawi,” Ujar Hui Ling.

Dia berterima kasih kepada semua guru UPKK di SKTJ yang mengadakan kelas tambahan untuk murid yang lemah dalam subjek Pelajaran Jawi yang mana merupakan mata pelajaran yang dia paling lemah.

Baca juga  Pengasas Instagram Tinggalkan Facebook Selepas Pertelingkahan Dengan Zuckerberg

Hasil ketekunannya, dia telah berjaya menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi selain boleh membaca perkataan dalam Bahasa Arab hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Menurutnya, semua jenis ilmu atau mata pelajaran boleh dikuasai sekiranya seseorang itu mempunyai kesungguhan dan keinginan yang tinggi.

Antara kunci kejayaannya ialah dia menumpukan seluruh perhatian semasa sesi pembelajaran di dalam kelas selain tidak malu untuk bertanya guru sekiranya tidak memahami sesuatu pembelajaran. Melalui disiplin itulah, dia berjaya mencapai kecemerlangan di dalam UPKK.

Sementara itu Guru Besar SKTJ , Abdul Aziz Deraman berkata, kejayaan Hui Ling menjadi satu sejarah kepada SKTJ.

Kejayaan Hui Ling itu akan menjadi perangsang dan cabaran kepada murid-murid lain yang beragama Islam untuk turut cemerlang dalam UPKK.

Hui Ling adalah antara 57 daripada 138 murid yang menduduki UPKK memperoleh 8A di SKTJ pada tahun ini.

LIKE dan FOLLOW Ohsempoi untuk update terkini di FacebookTwitter serta Telegram.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini