Surat rasmi kerajaan tidak boleh lagi menggunakan frasa “SAYA YANG MENURUT PERINTAH” di akhir surat tetapi digantikan dengan frasa baru iaitu “SAYA YANG MENJALANKAN AMANAH”.
Pertukaran itu sejajar dengan hasrat Kerajaan supaya setiap penjawat awam dapat menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah berkata “Dalam konteks ini, amanah bermaksud rela dan berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dalam batas kuasa yang ditentukan dengan penuh gigih dan ikhlas bagi mencapai objektif yang ditetapkan.
Cadangan supaya frasa tersebut ditukar kepada yang baru disuarakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi Town Hall bersama pegawai tadbir dan diplomatik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 15 Ogos lepas.
Berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 20 September 2018, penggunaan frasa baru ini adalah berkuat kuasa serta merta.
Contoh penggunaan frasa baru ini juga boleh dilihat dalam surat tersebut dimana ditulis sebelum ruangan tandatangan.