Pasti teruja apabila mendapat rumah baru selepas beberapa tempoh menunggu rumah baru siap dibina. Perkara pertama yang terlintas difikiran pastinya untuk membuat sedikit pengubahsuaian agar menepati citarasa anda apabila berpindah masuk ke rumah baru.
Tapi bersabar dahulu kerana ada perkara utama yang lebih penting yang perlu anda lakukan terlebih dahulu iaitu melakukan defect inspection atau chek kerosakan yang terdapat di rumah tersebut.
Pemeriksaan kecacatan rumah atau defect inspection perlu dilakukan sebelum kerja-kerja pengubahsuaian rumah dilakukan. Ingat! Sekiranya anda telah melakukan kerja pengubahsuaian rumah, pemaju mungkin tidak lagi menerima aduan kecacatan yang anda lakukan sekiranya defect tersebut melibatkan kawasan pengubahsuaian.
Untuk check defect, ada beberapa perkara yang perlu anda sediakan sebelum memulakan proses pemeriksaan.
1. Marker pen
Tujuannya untuk menandakan kawasan yang didapati bermasalah.
2. Masking tape / pita pelekat
Tujuannya supaya kawasan kecacatan ditandakan dengan masking tape dan dituliskan nota ringkas di atasnya.
3. Duit syiling / guli
Tujuannya untuk memeriksa keadaan tiles. Ketukkan di bahagian permukaan tiles bagi mendengar bunyi sama ada terdapat ruang kosong di belakangnya. Perkara ini boleh berlaku disebabkan hasil kerja yang tidak kemas. Ruang udara ini jika dibiarkan akan menyebabkan tiles menggelembung. Ia juga mudah pecah jika terkena hentakan.
4. Tangga / kerusi
Tujuannya untuk membantu anda membuat pemeriksaan di bahagian tinggi seperti tingkap atau siling.
5. Kamera / telefon
Anda perlukan camera untuk mengambil gambar kecacatan yang telah dikenal pasti untuk dimasukkan di dalam laporan kerosakan. Juga sebagai rekod yang memudahkan anda untuk membuat semakan semula.
6. Lampu dan plug
Boleh dapatkan alatan ini di kedai DIY. Tujuannya adalah untuk memeriksa plug dan suis lampu berfungsi dengan baik.
Untuk pengetahuan anda, kebiasaannya tempoh mengenalpasti kecacatan adalah selama 24 bulan. Dalam tempoh ini sekiranya anda mengesan kecacatan baharu, anda masih boleh mengemukakan kepada pemaju untuk tindakan pembaikan.
Sebagai contoh, kebocoran paip. Mungkin diperingkat awal agak sukar mengesan kebocoran paip yang berlaku di dalam dinding tapi sekiranya anda mendapati terdapat kesan kebocoran, anda masih boleh meminta pihak pemaju menyelesaikan masalah tersebut dengan kos ditanggung mereka.
Selepas ini kami akan kongsikan apakah yang perlu anda lakukan semasa melakukan defect inspection.