Pernahkah anda ada kawan yang mempunyai nama panjang sehingga mengah untuk menyebutnya? Contohnya, ” Tuan Syed Mohamed Saddiq Al-Firdaus Husainy Bin Tuan Syed Mohamed Khabir Bhati” Cuba anda sebutkan nama ini dalam satu nafas..mengah bukan?
Terkini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melarang ibu bapa mendaftar anak mereka dengan nama yang panjang sehingga melebihi 80 aksara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Jasri Kasim, berkata 80 aksara itu turut merangkumi nama bapa, bin atau binti serta simbol seperti koma dan sebagainya.
Sebab Hanya 80 Aksara Boleh Daftar Nama Anak
Sebab utama adalah kerana ruangan nama yang disediakan di borang pendaftaran adalah terhad kepada 80 abjad malah jarak antara perkataan juga dikira sebagai satu abjad.
Ibu bapa diminta untuk mematuhinya dan untuk rekod nama individu yang paling panjang setakat ini adalah 78 aksara.
Mengikut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, selain pemberian nama yang membawa maksud tidak baik, nama yang panjang juga secara tidak langsung bakal memberi kesan kepada anak.
Ini menyusahkan anak mereka kelak khususnya ketika berurusan rasmi dengan agensi kerajaan kerana tidak semua jabatan menyediakan ruangan nama yang mencukupi seperti di JPN.
Selain itu, anak yang mempunyai nama panjang pasti ‘kepenatan’ kerana setiap kali musim peperiksaan orang lain sudah menjawab beberapa soalan, mereka masih sibuk mengisi nama di kertas soalan.
Selain pemberian nama yang membawa maksud tidak baik, turut ditegah memberikan nama anak dengan kumpulan nama gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan seperti Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Sri, Datuk Patinggi, Datuk Wira, Datuk Bentara Dalam dan Datuk Bentara Luar.
Ini diikuti nama pangkat atau jawatan contohnya, haji, imam, nabi, mufti, ketua menteri, gabenor, sarjan, laksamana, hakim atau permaisuri.
Jadi, selepas ini, anda yang bakal menerima cahaya mata baru perlu terlebih awal memikirkan nama anak yang sesuai. Kemudian, boleh bersedia dan memahami cara mendaftar anak di JPN. Sesuai di sini bukan sahaja mempunyai maksu yang baik tetapi juga mematuhi syarat-syarat oleh pihak berwajib.