Diskaun Tambang KTM Komuter Sehingga 40% Mulai 1 April 2019
Berita baik kepada pengguna tegar KTM Komuter apabila diskaun sehingga 40% bakal dinikmati bermula 1 April 2019 ini.
Menurut perkongsian di Facebook Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke Siew Fook, Jemaah Menteri menimbang dan bersetuju:
(i) Pelaksanaan diskaun kadar tambang sebanyak 20% ke atas kadar tambang secara tunai dan 40% bagi pengguna sistem cashless bagi perkhidmatan komuter di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB);
(ii) Bagi memastikan faedah dan kemudahan yang sama turut diperolehi oleh warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan KTMB (komuter di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan), pemberian diskaun sebanyak 20% ke atas kadar tambang semasa melibatkan semua perkhidmatan komuter. Diskaun ini adalah merangkumi semua jenis kadar tambang secara tunai mahupun cashless;
(iii) Pengguna yang membuat perjalanan secara cashless akan menikmati diskaun dalam lingkungan 20% daripada kadar tambang secara tunai;
(iv) Diskaun konsesi sebanyak 50% juga turut ditawarkan kepada golongan pelajar, warga emas, golongan orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak;
(v) Dengan diskaun kadar tambang ini, pengguna perkhidmatan komuter akan dapat mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan untuk tambang pengangkutan awam. Lebihan wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk menampung kos sara hidup lain seperti kos makanan dan tempat tinggal yang merupakan kos sara hidup tertinggi selain kos tambang pengangkutan.
Kerajaan berharap menerusi inisiatif itu dapat meningkatkan bilangan penumpang sehingga 20 peratus iaitu antara 120,000 hingga 130,00 orang sehari. Inisiatif ini bagi membantu kehidupan rakyat memandangkan pengangkutan awam adalah penyumbang ketiga kepada kos sara hidup mereka.