File Backup WhatsApp Tidak Lagi Menjejaskan Kuota Google Drive


Terdapat segelintir pengguna yang sering menggunakan platform WhatsApp sebagai satu saluran komunikasi mereka. Lebih-lebih lagi apabila dewasa ini kebanyakan jual beli dilakukan diatas talian yang memerlukan penjual untuk menyediakan sokongan live chat bagi membantu pembeli yang mempunyai sebarang kemusykilan.

Bagi golongan seperti ini, sering kali data-data yang tersimpan didalam aplikasi WhatsApp akan diguna pakai atau dijadikan rujukan semula.

Namun, tidak dinafikan bukan semua telefon pintar menyediakan ruang storan yang mencukupi. Tambahan pula dengan sikap sesetengah daripada kita yang gemar menyimpan gambar-gambar atau video yang dirakam setiap hari tanpa membuangnya sekiranya tidak diperlukan lagi – ia sedikit sebanyak menjejaskan kuota storan sedia ada bagi sesebuah telefon pintar.

Seperti yang umum ketahui, bagi pengguna Android terdapat fungsi backup yang membantu pengguna WhatsApp untuk membuat salinan pendua kepada perbualan yang telah dilakukan, dan salinan pendua ini kebiasaannya dilakukan secara automatik oleh aplikasi WhatsApp itu sendiri pada lewat malam.

Setiap salinan pendua itu pula tidak kira sama ada ia kecil atau pun besar, akan tersimpan rapi didalam storan awam yang dipanggil Google Drive yang mana pada bila-bila masa boleh dibaca semula sekiranya diperlukan.

Akan tetapi perlu dimaklumkan bahawa setiap daripada fail backup yang tersimpan akan menjejaskan kuota percuma yang tersedia untuk sesuatu akaun Google Drive tersebut.

Menariknya hari ini, disebabkan berlakunya perjanjian baru diantara pihak WhatsApp dan Google, terdapat beberapa perubahan yang diumumkan.

Diantara berita baik yang diumumkan ialah, berkuatkuasa pada 12 November 2018 ini, salinan pendua perbualan pengguna di WhatsApp tidak lagi akan dikira dibawah kuota Google Drive seseorang pengguna. Sekaligus ia membenarkan pengguna untuk membuat salinan pendua ke Google Drive tanpa had tanpa perlu risau memikirkan had maksima storan.

Namun berita buruknya pula, WhatsApp turut mengumumkan bahawa, setiap salinan pendua yang tidak dikemaskini untuk tempoh lebih setahun, akan dibuang secara automatik daripada storan awam Google Drive yang digunakan.

Jadi untuk mengelakkan pengguna kehilangan sebarang data penting, adalah dinasihatkan supaya anda sering melakukan kemaskini terhadap salinan pendua yang telah dibuat, dimana ia secara mudahnya boleh dilakukan melalui tetapan seperti berikut: Menu > Settings > Chat > Chat Backup.


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini