Flickr kini bukan yang dulu. Sebelumnya ia dimiliki oleh Yahoo! namun setelah melalui pertukaran pemilikkan, ianya kini milik SmugMug. Terkesan oleh pertukaran pemilikkan tersebut, Flickr kini mengumumkan satu lagi perubahan dalam perkhidmatan mereka dimana penawaran storan 1TB yang sebelum ini diberikan secara percuma untuk menyimpan gambar dan video, tidak lagi diteruskan.
Malah, setiap akaun pengguna percuma Flickr dihadkan kepada perkongsian 1000 gambar atau video sahaja – tanpa mengira saiz.
Apa akan terjadi sekiranya pengguna akaun percuma sedia ada menyimpan 1000 gambar didalam akaun mereka?
Menurut pihak Flickr, mereka ini akan diberikan tempoh sehingga 8 Januari 2019 kelak untuk memuat-turun gambar-gambar mereka. Dan selepas 5 Febuari 2019, mana-mana lebihan gambar didalam akaun percuma yang tidak dimuat turun atau telah dimuat turun, akan dibuang secara automatik.
Sebagai alternatif, Flickr dalam masa yang sama menawarkan akaun Flickr Pro pada harga $49.99 setahun bagi mereka yang masih ingin menyimpan gambar-gambar mereka dengan kemampuan storan tanpa had, serta tiada paparan iklan.
Adakah anda salah seorang pengguna Flickr? Jadi, apa pilihan anda? Teruskan menggunakan Flickr atau sebaliknya.
Jika anda seorang yang mementingkan akaun storan awan tanpa had tetapi agak memilih untuk tidak membayar kepada langganan tahunan seperti Flickr Pro, mungkin anda boleh mencuba perkhidmatan Google Photos. Ia menawarkan storan tanpa had – cuma setiap gambar yang dimuat naik akan diperkecilkan saiznya terlebih dahulu.