Seringkali kita mendengar istilah “orang gemuk sahaja perlu jaga badan” kerana mereka mempunyai berat badan berlebihan dan berisiko dijangkit pelbagai penyakit. Ye kami setuju. Tetapi kurus tidak bermakna anda sihat.
Sebenarnya, kurus atau gemuk bukan persoalan penting.
Body Mass Index (BMI) yang menentukan berat badan anda ideal atau tidak dengan ketinggian tubuh. Tubuh badan yang ideal adalah yang mempunyai bacaan BMI dari 20 ke 25. BMI melebihi 25, dikira sebagai obes,tidak sihat dan kurang daripada 18.5 dianggap terlalu kurus, juga tidak sihat.
Perasan tak, ada anak muda yang terkena serangan jantung, walhal badan dia kurus. Ada tak kawan-kawan anda yang kurus, tetap mengah naik tangga dan cepat letih?
Itu tanda kurus tidak bermakna 100% sihat. Perlukan pemeriksaan lanjut.
Badan yang terlalu kurus juga berisiko menghidapi beberapa penyakit seperti perkongsian kami seterusnya ini:
1# Sakit jantung
Kami kurang bersetuju jika dikatakan orang gemuk sahaja berisiko terkena serangan jantung. Orang kurus juga berisiko. Kenapa?
Orang kurus lebih suka beranggapan mereka lebih sihat. Perasaan mereka ini membuatkan mereka tidak suka untuk mengambil berat tentang pemakanan dan juga kesihatan tubuh badan .
Mungkin ramai tidak mengetahui fakta tentang lemak.
Lemak bagi lelaki yang gemuk membonjol terutama pada bahagian perut berbanding lelaki kurus. Tetapi harus kita ketahui, lemak lelaki yang kurus ‘tertampal’ pada bahagian jantung dan hati!
2# Kerap letih
Majoriti lelaki kurus kerap berasa letih. Fenomena kekurangan tenaga ini merupakan petanda awal penyakit seperti anemia atau kurang darah.
Selain letih, petanda penyakit anemia lain adalah selalu sakit kepala dan mudah semput.
Kemungkinan, mereka kekurangan nutrisi yang menyebabkan mereka terlalu kurang dan terdedah kepada risiko penyakit lain.
3# Kurang subur
Badan yang terlalu kurus juga boleh menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan. Berdasarkan kajian, lelaki yang terlalu kurus berisiko sehingga 22 peratus mengalami masalah berkaitan seksual seperti kegagalan ejakulasi rasa sakit ketika mengadakan hubungan kelamin serta masalah erektil.
Menurut hasil satu kajian yang dijalankan pada 2011 ke atas lebih 5,000 orang di Denmark, kaum lelaki dengan BMI rendah mempunyai risiko lebih tinggi mengalami masalah seksual, termasuk mati pucuk, jika dibandingkan dengan lelaki yang mempunyai berat badan normal.
Bahkan jika seseorang lelaki terlalu kurus, berdasarkan satu lagi kajian pada tahun 2010, jumlah sperma yang dihasilkan juga lebih rendah dan boleh mengalami beberapa gangguan.
4# Tulang rapuh
Majoriti lelaki terlalu risau dengan perkataan ‘lemak.’ Takut sangat badan gemuk sehingga tidak sedar lemak bukanlah segala-galanya. Kebanyakan lelaki kurus tidak sedar bahawa lelaki kurus biasanya akan mengalami masalah kepadatan tulang hingga menyebabkan mereka diserang osteoporosis/tulang rapuh.
Ini terjadi kepada badan lelaki yang terlalu kurus kerana apabila badan mereka tidak mempunyai lemak, badan tidak dapat menghasilkan estrogen yang mencukupi hingga mengakibatkan tulang menjadi rapuh.
Walaupun osteoporosis dianggap penyakit orang tua, namun BMI yang rendah juga boleh menjadi penyebab penyakit tersebut. Ini bermakna orang kurus lebih terdedah kepada masalah kepadatan tulang berbanding mereka yang mempunyai berat badan normal.
Jadi, kepada lelaki kurus, jangan terlalu ambil mudah penjagaan kesihatan anda. Sepatutnya, bukan kurus atau gemuk yang menjadi objektif utama untuk dikejar, tetapi tubuh badan yang sihat sepatutnya menjadi idaman anda.
Kurus sangat pun tidak akan menarik perhatian wanita lain! Percayalah.