Jika sedekad lebih yang lalu, disket memainkan peranan penting dalam rutin membuat salinan kerja digital seseorang. Namun, lama-kelamaan ianya tidak lagi menjadi relevan kerana kapasiti simpanannya yang terhad membuatkan pengguna telah beralih kepada cd ataupun dvd. Masa bergerak pantas apabila kini CD dan DVD juga akhirnya telah menjadi lapuk sehingga membuatkan permintaan pendrive ataupun memori card pula memenuhi pasaran.
Situasi ini berubah setiap masa dan seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat, pendrive ataupun memori card ini juga mengalami revolusi. Kalau dulunya pendrive ataupun memori card dengan saiz sebesar 512MB jarang-jarang ditemui, tapi dengan permintaan yang tinggi terhadap kapasiti medium penyimpan yang lebih besar, ianya kini mudah dibeli di kedai-kedai berhampiran.
Terkini, dengan keperluan peranti-peranti serta konsol mudah alih yang menghasilkan salinan-salinan gambar dan video yang berkapisiti besar, dilihat beberapa syarikat pengeluar telah pun mula hadir dengan kad micro SD dengan storan sebesar 1TB. Antaranya ialah Micron dan juga Western Digital, yang difahamkan akan menawarkan kad micro SD sebesar 1TB ini dalam beberapa bulan yang akan datang.
Micron melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak mereka mengatakan, diantara kemampuan kad micro SD 1TB keluaran mereka adalah dengan penawaran kemampuan membaca dengan kelajuan sehingga 100MB per saat, selain kelajuan menulis pada 95MB per saat.
Manakala bagi kad micro SD 1TB yang ditawarkan oleh Western Digital pula difahamkan ia mampu mencapai kelajuan membaca setinggi 160MB per saat, dan 90MB per saat pula untuk kelajuan menulis.
Buat masa ini pihak Micron belum mengeluarkan pengumuman tentang harga jualan produk mereka itu, namun bagi kad micro SD 1TB Western Digital, ia dikatakan akan dijual pada harga $449.99, iaitu sekitar RM1831.