Kami pasti, banyak tempat di Malaysia bermula 12 tengah malam semalam dimeriahkan dengan bunyi mercun di sana sini. Acara pembakaran mercun ini dilakukan lebih kurang setengah ke sejam waktunya.
Sambutan Tahun Baru Cina sudah pun seminggu berlalu. Memang tidak dapat dinafikan sambutan Tahun Baru Cina mempunyai kepentingan dan makna yang mendalam bagi masyarakat Cina di serata dunia.
Aktiviti Wajib Tahun Baru Cina
Salah satu aktiviti wajib pada perayaan itu ialah membakar mercun.
Mercun merupakan ciptaan terawal orang Cina, sama seperti kompas, kain sutera dan tembikar. Ia dikatakan telah wujud sejak lebih 2,000 tahun lalu. Antara tujuan mercun dicipta ialah untuk digunakan di medan perang sebagai bahan letupan.
Mercun juga digunakan untuk sambutan keramaian dan perkahwinan, bertujuan untuk memeriahkan majlis, menarik perhatian orang ramai dan menimbulkan suasana ceria.
Pertama ialah mercun yang digunakan untuk upacara tertentu, misalnya pada majlis perkahwinan, pembukaan kedai baru dan hari perayaan.
Mercun itu dililit dengan kertas berwarna merah, diikat dan digantung secara memanjang dan akan menghasilkan letupan berturutan apabila dibakar. Warna merah melambangkan semangat, kegembiraan, nadi kehidupan dan paling penting, wang. Ia juga membawa maksud kemakmuran.
Satu lagi ialah untuk permainan dan dibakar bagi menghasilkan percikan api. Ia hadir dalam pelbagai bentuk seperti mercun roket dan mercun katak.
Tahun Baru Cina Disambut Selama 15 Hari.
Perayaan Tahun Baru Cina akan disambut selama 15 hari dan mempunyai tiga hari utama.
Pertama ialah hari pertama tahun baru mengikut kalendar masyarakat Cina di mana mercun akan dibakar pada pukul 12 tengah malam.
Masyarakat Cina Hokkien pula akan meraikannya pada hari kesembilan dan pada 15 haribulan, perayaan Capgome diadakan, menandakan berakhirnya sambutan Tahun Baru Cina.
Sungguhpun aktiviti bermain dan menjual mercun telah diharamkan di negara ini, ia masih dibolehkan pada hari-hari perayaan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan tradisi dan budaya masyarakat sejak dulu lagi.
China – Negara Pertama Hasilkan Mercun.
Di China, negara pertama di dunia yang menghasilkan mercun, kini mengharamkan permainan bahan letupan itu di bandar-bandar utamanya kecuali pada perayaan tertentu.
Sekiranya pada hari perayaan ia tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, kebenaran daripada pihak berkuasa adalah perlu jika ia dijalankan pada hari-hari biasa, misalnya untuk majlis perkahwinan.
Pembakaran mercun juga tidak dibuat sesuka hati, sebaliknya hanya dilakukan di kawasan yang terhad seperti di halaman rumah atau di hadapan kedai.
Apabila orang bakar mercun, kita dapat tahu suatu kejadian yang baik sedang berlaku.
Ia dibakar untuk menghalau benda-benda yang tidak baik seperti semangat jahat dan hantu serta menghalang perkara buruk datang menghampiri.
Tujuan orang Cina membakar mercun adalah untuk mendapatkan bunyi yang kuat. Lagi bising lagi bagus. Namun, pembakaran mercun sekarang ini lebih kepada untuk kegembiraan dan lambang kemewahan.
Jadi, dengan perkongsian ini, masyarakat selain Cina di Malaysia ini dapat memahami sedikit sebanyak tentang kepercayaan masyarakat Cina. Kita raikan perbezaan ini. Bagusnya jika kit boleh bersabar sedikit (lebih kurang sejam) sekiranya kawasan perumahan anda ibarat berada di medan perang pada waktu tengah malam, pada tarikh-tarikh tertentu seperti semalam!