Naikkan Semangat Patriotik Anda Dengan Menonton 5 Filem Ini!


Esok, sekali lagi Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-61. Tahun ini juga melakar sejarah apabila buat pertama kali bakal menyambut Hari Kebangsaan di bawah pimpian kerajaan baru Pakatan Harapan. “Sayangi Malaysiaku” yang merupakan tema Hari Kebangsaan Ke-61 dipilih sendiri oleh Perdana Mentari Tun Mahathir.

Sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya bagi menyemarakkan lagi rasa cinta pada negara.

Apakah cara lain untuk menaikkan lagi semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan ini?

Kami cadangakn anda  menonton filem-filem patriotik kerana sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat kenegaraan kita sebagai rakyat Malaysia. Pengisian filem patriotik tidak hanya berkisarkan tentang perperangan, malah semangat juang juga turut diangkat menjadi tema sesebuah filem.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-61, kami senaraikan 5 filem patriotik adaptasi kisah benar yang wajib ditonton bersempena Hari Kebangsaan!

Leftenan Adnan

Filem arahan sutradara profilik Aziz M Osman ini telah diterbitkan pada tahun 2000. Menampilkan garapan kisah benar Leftenan Adnan Saidi yang terjadi semasa Perang Dunia Kedua, filem ini membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Hairie Othman, Datin Paduka Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli dan ramai lagi.

 Bukit Kepong

Filem Bukit Kepong yang menemui pawagam pada tahun 1981 ini berkisarkan mengenai perjuangan pihak polis menentang komunis. Diangkat dari kisah benar yang terjadi pada tahun 1950, filem arahan Tan Sri Jins Shamsudin ini dilakonkan oleh beliau sendiri bersama Allahyarham Hussein Abu Hassan, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

1957: Hati Malaya

Diterbitkan pada tahun 2007 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50, filem hebat ini diarahkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba. Berkisarkan mengenai golongan muda tempatan yang berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar yang bertajuk 1957 – Hati Malaya, filem ini turut menyelitkan kisah benar mengenai perjuangan untuk mencapai kebebasan.

Paloh

Menggarap kisah benar penduduk daerah Paloh yang terletak di Johor, filem arahan Adman Salleh ini ditayangkan pada tahun 2003. Mengangkat kisah penduduk Tanah Melayu yang terpaksa hidup dalam tekanan akibat berlakunya konfrontasi antara pihak tentera Jepun dengan Parti Komunis Malaya, Paloh dibintangi oleh Janet Khoo, Nam Ron, Ellie Suriaty dan ramai lagi.

Tanda Putera

Filem adaptasi kisah benar ini memaparkan hubungan persahabatan antara Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sejak tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Filem ini turut diarahkan oleh pengarah prolifik Datin Paduka Shuhaimi Baba. Tanda Putera dibintangi oleh Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim dan ramai lagi.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kami doakan agar Malaysia terus maju, cemerlang dan gemilang pada tahun-tahun seterusnya!


TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan komen anda
Sila masukkan nama anda disini