Dalam proses membesarkan anak, ada banyak fasa yang perlu dilalui oleh ibu bapa. Antaranya fasa di mana si kecil tidak mahu makan. Pelbagai cara telah dibuat namun anak masih tidak berselera untuk makan.
Ramai ibu bapa yang rungsing memikirkan perkara ini sehingga sanggup membeli pelbagai makanan tambahan yang dikatakan boleh menambah selera si kecil. Ada kalanya makanan tambahan juga membantu dan ada kalanya ia tidak membantu.
Berikut adalah beberapa panduan yang perlu ibu bapa tahu dalam menguruskan anak yang tidak mahu makan.
1. Jangan memarahi dan memaksa
Jangan paksa anak makan sehingga meninggikan suara. Katakan dengan tenang “jika tak mahu makan sekarang tak apa tapi jika ingin makan, beritahu ibu/ayah”.
Ini adalah salah satu cara pujukan dan reverse psychology untuk mereka. Cuba cara ini secara konsisten, ia mungkin akan mendatangkan perbezaan.
2. Catat apa yang anak makan.
Sesetengah kanak-kanak lebih suka makan sedikit demi sedikit. Sekeping roti, kemudian buah-buahan ataupun biskut.
Apabila ditambahkan semua Makanan ini, sebenarnya ia cukup mengenyangkan. Jadi jangan risau kalau anak bukan jenis yang suka makanan lauk pauk.
3. Sediakan makanan berkalori tinggi
Mentega kacang sangat kaya dengan protein, lemak sihat dan berkalori tinggi.Bahkan beberapa sudu besar kismis juga sudah mengandungi 200 kalori.
Keju, kepingan oat, buah-buahan dan kacang adalah sangat mudah disediakan. Pastikan anda membawa makanan-makanan ini apabila keluar supaya anak boleh makan pada bila-bila masa yang dia inginkan.
4. Buat perancangan awal untuk makanan anak
Jika anak selalu makan makanan yang sama setiap hari, pasti dia akan jemu.
Cuba tulis semua makanan kegemaran anak, atau sediakan makanan yang berbeza-beza supaya dia mempunyai lebih banyak pilihan.
5. Dapatkan pertolongan orang lain
Kalau keadaan semakin teruk, cuba minta pertolongan orang lain untuk menyuap anak.
Jika terpaksa, biar mereka makan depan TV. 20 minit pun lebih baik dari anak tak makan langsung.
6. Jangan terlalu tegas dengan pilihan makanan anak
Berikan peluang kepada si kecil untuk menentukan apa yang hendak dimakan. Jangan terlalu mengongkong. Itu tak boleh, ini tak boleh. Makanan manis tak boley, coklat tak boleh, kek tak boleh, keropok tak boleh. Terlalu banyak benda makan yang dia inginkan disekat. Berikan kebebasan tapi masih mengawal.
7. Beri vitamin tambahan
Beli vitamin atau supplemen tambahan yang mereka suka (jenis sirap ataupun gummy bear) dan pastikan anak makannya setiap hari untuk mengelak kekurangan nutrien. Minyak ikan sepeti scott imulsion juga elok diamalkan.
8. Jadikan aktiviti makan bersama sesuatu yang menyeronokkan
Ibu bapa perlu kreatif dalam memujuk anak untuk makan. Jadikan aktiviti makan sebagai sesuatu yang menyeronokkan sama ada ketika menonton tv, bersantai atau bermain bersama.
Apa jua cara yang difikirkan baik boleh cuba diamalkan oleh ibu bapa, yang penting ibu bapa kena pastikan si kecil mendapat nutrien yang mencukupi sama ada melalui makanan atau minuman. Dan jangan juga terlalu memaksa kerana kanak-kanak akan lebih memberontak jika dipaksa.