Pernah tak buat kek tak menjadi walaupun dah ikut resepi yang diberikan. Hasil tangan setiap orang pasti berbeza walaupun menggunakan bahan dan resepi yang sama.
Sebenarnya membuat kek juga memerlukan skill dan ilmu pengetahuan. Bukan hanya bergantung kepada resepi semata-mata.
Bagi menghasilkan kek yang memuaskan hati, ada beberapa pantang larang yang anda perlu tahu.
1) Pastikan semua bahan yang hendak digunakan berada pada suhu bilik. Contohnya mentega, jangan gunakan mentega yang baru dikeluarkan dari peti sejuk.
2) Pukul mentega dengan kelajuan perlahan terlebih dahulu sebelum menambah kelajuan. Jangan terus mulakan dengan kelajuan yang tinggi.
3) Jangan padatkan atau tekankan bahan yang disukat ke dalam bekas pengukur. Gunakan bahan ukuran yang dijual di kedai kek. Paraskan ukuran sukatan, jangan kurang atau terlebih.
4) Bagi mengukur bahan cairan seperti susu. Letakkan cawan pengukur ditempat yang rata.
5) Panaskan oven kepada suhu yang dikehendaki terlebih dahulu sebelum membakar kek.
6) Jangan buka penutup oven sehingga 2/3 dari jumlah masa yang ditetapkan. Misalnya kek perlu dimasak dalam masa sejam. Anda hanya boleh membuka penutup oven selepas 40 minit kek dibakar. Jangan buka terlalu kerap kerana boleh menyebabkan kek menjadi bantat atau keras.
7) Gunakan lidi untuk menguji samada kek telah masak atau tidak dengan cucuk di bahagian tengah kek. Jika masih ada adunan yang melekat pada lidi, itu bermaksud kek belum masak.
8) Pastikan semua bekas yang hendak digunakan bersih dan kering. Lap menggunakan tisu dapur.
9) Jangan pukul adunan terlalu lama selepas memasukkan tepung atau bahan-bahan akhir kerana ia akan menghasilkan kek yang agak mampat dan tidak gebu, cukup sekadar tepung sebati dengan adunan mentega.
10) Pukul adunan dalam 1 arah yang sama sahaja. Jika adunan dipukul mengikut arah pusingan jam, kekal pukul mengikut pusingan yang sama sehingga siap.
11) Jangan sapu icing atau topping ketika kek masih panas.
Banyak petua dan pantang larang yang perlu anda tahu sebelum membuat kek. Selepas ini mungkin kek anda akan menjadi dengan sempurna dan lebih gebu. Jangan salahkan resepi sekiranya kek anda tidak menjadi.