Selepas kali terakhir gelaran Tengku Ampuan Pahang disandang 31 tahun yang lalu, negeri Pahang kini mempunyai Tengku Ampuan yang baharu.
Hari ini Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang.
Pemasyhuran tersebut disempurnakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pelantikan dan Pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang yang berlangsung penuh istiadat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.
Pemasyhuran ini meletakkan baginda sebagai Tengku Ampuan Pahang kelima dalam kesultanan Pahang era moden.
Istiadat pemasyhuran dimulakan dengan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah membacakan Surat Pengisytiharan Pelantikan Tunku Azizah sebagai Tengku Ampuan Pahang oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah:
“Beta sultan dan pemerintah negeri atas kuasa yang diberikan kepada Beta di bawah Fasa 1, Perkara 12 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang Bahagian Pertama dengan ini melantik dan memasyhurkan permaisuri Beta iaitu Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Alhaj sebagai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang berkuat kuasa pada 22 Januari 2019 bersamaan 16 Jamadil Awal 1440 Hijrah”.
Semoga dengan pemasyhuran ini dapat membantu baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Yang Di Pertuan Agong Malaysia menjalankan tugas sebagai pemerintah dan ketua agama Islam dengan lebih berkesan.