Ramai orang yang punya hobi yang melibatkan laut. Memancing dan mencandat sotong di tengah lautan adalah contoh aktiviti yang selalu diidamkan oleh kaki pancing. Manakala yang menyukai keindahna pulau, mereka juga terpaksa menaiki bot untuk destinasi pulau pilihan mereka.
Namun, tidak semua mereka boleh berkawan dengan lautan. Ada yang tidak tahan dan mabuk laut. Ini akan sedikit sebanyak mengganggu keterujaan mereka menikmati percutian dan hobi mereka.
Kali ini kami senaraikan Petua untuk elakkan mabuk laut untuk anda yang kami dapat daripada perbualan dengan orang tua-tua dan juga dari pembacaan kami:
1. Rehat secukupnya
Pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya sebelum ke laut. Jangan membuat persediaan di saat akhir. Ini adalah kerana ia mungkin akan mengheret masa anda sehingga ke lewat malam sebelum ke laut.
Simpan sikit keterujaan anda. Jangan terlalu gembira sehingga tidur lewat. Masuk tidur seawal mungkin supaya badan mempunyai cukup rehat untuk aktiviti keesokan harinya.
Tidak cukup tidur akan memenatkan badan dan membuat kepala menjadi pening. Ditambah lagi dengan alunan ombak semasa di dalam bot nanti, anda kemungkinan besar tidak terlepas daripada mabuk laut.
So, rehat dan tidur awal ya…!
2. Pil Mabuk
Penggunaan pil mabuk seperti Novamin boleh membantu untuk elakkan mabuk. Kat mana nak cari? Boleh cari kat klinik-klinik terdekat. Ataupun boleh ke kedai-kedai menjual peralatan memancing. Mereka biasanya ada menjual pil mabuk untuk pemancing tegar di tengah lautan.
Anda disyorkan untuk menelan pil mabuk ini sehari sebelum trip. Ataupun paling lewat beberapa jam sebelum berangkat ke lautan. Mengambil pil mabuk sejurus sebelum berlepas dikhuatiri tidak memberi kesan kerana pil mabuk mengambil sedikit masa untuk berfungsi.
3. Minum air laut
Ini petua yang dipakai dikalangan nelayan tempatan. Ceduk air laut dan minum sehingga sendawa jika boleh. Jika tidak tahan boleh minum sekadarnya. Air laut boleh menahan tekak daripada terasa loya.
4. Oren
Samada buah oren ataupun jus oren, ia berfungsi untuk meredakan rasa pening dan loya di tengah lautan.
5. Elakkan makanan berminyak
Elakkan makanan yang berminyak beberapa jam sebelum berangkat. Makanan seperti keropok lekor, mee dan nasing goreng, pisang goreng dan lain-lain yang menggunakan minyak berlebihan boleh memudahkan kita berasa loya nak muntah.
6. Elakkan minuman bersusu.
Minuman bersusu juga kalau boleh hendaklah dielakkan. Minuman jenis ini menggalakkan tekak cepat terasa loya dengan alunan di tengah lautan.
7. Keledek mentah dan Pisang kelat

Makan Keledak mentah ataupun Pisang kelat. Getah daripada keledek mentah dan pisang Kelat ni boleh membantu menghalang teak daripada terasa loya.
8. Tampal koyok di pusat
Ini adalah amalan dan petua yang biasa dipakai oleh kaki pancing. Nampak pelik kan? Tapi ia dikatakan sangat mujarab untuk menghalang mabuk laut.
9. Elakkan bau diesel
Bot yang membawa kita ke tengah lautan menggunakan enjin diesel. Minyak diesel ni ada bau yang sangat kuat yang jika terhidu boleh mengakibatkan pening.
Jadi elakkan duduk di bahagian belakang bot untuk mengelakkan terhidu bau minyak diesel.
10. Makan dahulu sebelum turun ke laut
Tak nak makan kerana takut muntah Adalah kepercayaan yang salah. Sebaliknya tidak makan dan membiarkan perut kosong akan menyebabkan perut masuk angin dan menjadi punca pening kepala.
Di darat pun jika perut kosong akan mengakibatkan pening, apatah lagi di lautan yang beralun. Jadi pastikan perut terisi.
11. Elakkan membuat perkara yang memerlukan fokus.
Aktiviti seperti mengikat mata kail, membaca dan yang sewaktu dengannya yang memerlukan mata kita fokus kepada satu tempat boleh mengakibatkan pening dan loya.
Jadi sebelum ke laut, terutama yang baru pertama kali ingin mengecapi aktiviti memancing ataupun mencandat sotong, anda boleh amalkan petua ini untuk membantu anda bertahan dan tak mabuk laut. Selamat mencuba..!