Pernah tak terjadi ulser di dalam mulut? Selera makan pasti berkurang dan pastinya nak makan makanan yang pedas juga terbantut disebabkan ulser. Ramai yang hanya membiarkan ulser di dalam mulut hilang dengan sendirinya tapi ia mungkin memerlukan masa hampir seminggu atau mungkin lebih untuk pulih.
Antara punca ulser berlaku adalah disebabkan badan kekurangan air dan faktor cuaca. Kebanyakan petua dan nasihat yang biasa diberikan apabila berlaku ulser di dalam mulut adalah dengan meletakkan secubit garam di bahagian ulser tersebut. Pernahkah anda mencubanya? Pasti berair mata menahan sakit dan pedih. Untuk orang dewasa mungkin boleh diterima tapi bagaimana dengan kanak-kanak?
Oh Sempoi ingin berkongsi dengan anda apakah petua yang boleh diamalkan bagi mempercepatkan ulser di dalam mulut sembuh dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi selain daripada garam.
1. Madu
Sapukan madu pada bahagian ulser kerana madu memiliki sifat anti bakteria yang membantu ulser segera hilang. Dalam masa yang sama ia melembapkan dan menggalakkan proses penambahan tisu yang baru.
2.Baking Soda
Ia sering digunakan dalam masakan tapi kali ini anda boleh cuba dengan mengambil secubit baking soda dan letakkan di bahagian ulser.
3. Uncang Teh
Jangan bazirkan uncang teh yang telah anda gunakan. Tuamkan uncang teh yang telah digunakan di bahagian yang ada ulser selama beberapa minit. Teh adalah bersifat alkali, ia membantu meneutralkan asid yang menyebabkan sakit di dalam mulut.
4. Susu Tepung
Gunakan susu formula anak anda. Letakkan secubit susu tersebut di bahagian ulser.
Walau bagaimanapun, ia hanya petua yang biasa diamalkan oleh orang tua dahulu. Anda boleh mencubanya, mungkin ada diantaranya yang sesuai dengan anda. Tapi ingat! Sekiranya ulser terlalu banyak di dalam mulut dan berlanjutan, dapatkan nasihat segera dari doktor. Ulser juga sebahagian dari penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD).